Hun Manet PM baharu Kemboja

Hun Manet. - Foto EPA
Hun Manet. - Foto EPA
A
A
A

PHNOM PENH - Dewan Rakyat Kemboja pada Selasa mengesahkan Hun Manet sebagai perdana menteri negara itu yang baharu untuk tempoh lima tahun selepas Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang dipimpinnya mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada 23 Julai, lapor Xinhua.

Menurut penyiar TVK yang dikendalikan kerajaan, kira-kira 123 ahli parlimen yang hadir sebulat suara mengundi beliau sebagai perdana menteri Kemboja yang baharu.

Dewan Rakyat juga meluluskan anggota Kabinet baharu Hun Manet untuk penggal 2023-2028.

Hun Manet, 45, menggantikan bapanya Samdech Techo Hun Sen, 71, yang meletak jawatan selepas memegang jawatan itu selama lebih 38 tahun.

Menurut jadual rasmi, Hun Manet dan anggota Kabinetnya akan mengangkat sumpah pada petang Selasa di Istana Diraja di bawah naungan Raja negara itu, Norodom Sihamoni.

Berucap di parlimen selepas pengundian, Hun Manet berkata ini adalah hari bersejarah bagi Kemboja selain beliau menyatakan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua ahli parlimen kerana memberikan undi percaya kepada beliau dan anggota Kabinetnya.

Beliau berikrar untuk memellihara kemerdekaan, kedaulatan, integriti wilayah, keamanan, kestabilan, keselamatan serta meningkatkan lagi ekonomi.

"Kerajaan baharu komited untuk bekerja lebih keras untuk mempercepatkan pembangunan sosioekonomi dan menggalakkan pelaksanaan pembaharuan yang lebih mendalam dan lebih luas," kata Hun Manet.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan akan memberi keutamaan kepada reformasi tadbir urus bagi memperkukuh institusi negara, membina pentadbiran yang bersih, meningkatkan kedaulatan undang-undang dan keadilan sosial, serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam,” tambahnya.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengutamakan pelaburan dalam pembangunan teknologi, ekonomi hijau, infrastruktur fizikal, perlindungan sosial dan sumber manusia, terutamanya dalam pendidikan dan kesihatan. - Bernama