Portfolio Exco Selangor diumum Rabu ini

Amirudin mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Amirudin mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang pertama akan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu ini.

Menurut Amirudin, portfolio barisan 10 Exco juga akan diumumkan selepas berakhirnya mesyuarat berkenaan.

"Rabu nanti saya akan mengadakan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang pertama dan pada waktu tengah hari saya akan memaklumkan portfolio Exco-exco selepas mesyuarat yang pertama akan dibuat sekitar jam 12.30 tengah hari," katanya.

Menteri Besar ditemui pemberita selepas berakhirnya Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar di Istana Alam Shah Klang di sini pada Isnin.

Menteri Besar menambah, semua wakil dalam gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilantik menyertai barisan gabungan pasukan Exco kerajaan Perpaduan Selangor itu.

"Ada 10 Exco, termasuk saya 11 (ahli) dan sebagai rakan kongsi kita kena bergabung bersama-sama dan saya percaya gabungan perpaduan ini berjaya melepasi ujian pertama dalam pilihan raya dengan kelebihan 12 kerusi berbanding dengan pihak lawan.

"Ini satu permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkannya pada masa depan dan saya akan memaklumkan portfolio Exco-exco terbabit selepas Rabu, portfolionya sudah ada tapi biarlah majlis akad sumpah berlangsung (dahulu)," katanya.

Terdahulu, Amirudin mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pada Isnin di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang.

Artikel Berkaitan:

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji tersebut turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam majlis itu, Amirudin yang dilantik bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.