Sinar Karangkraf sumbang bakul rezeki kepada 115 asnaf

Nik Justin (depan, lima dari kiri) bersama sebahagian penerima bakul rezeki pada Sabtu.
Nik Justin (depan, lima dari kiri) bersama sebahagian penerima bakul rezeki pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Karangkraf menerusi anak syarikatnya, Sinar Karangkraf menyampaikan sumbangan bakul rezeki kepada 115 orang golongan asnaf menerusi program Sulaman Kasih pada Sabtu.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, inisiatif sumbangan berbentuk makanan dan keperluan harian itu diberikan dengan tujuan bagi membantu meringankan beban dihadapi oleh mereka.

“Setiap bakul rezeki itu bernilai RM150 dan antara isi kandungnya ialah beras, gula, makanan basah dan kering, serta pakaian sepersalinan keluarga.

“Saya rasakan penganjuran program ini adalah tepat sebab memang sebagai sebuah badan korporat media, kita bukan sahaja hendak memperkasakan rakyat, malah memberikan tumpuan kepada guru, pelajar dan ibu bapa.

“Jadi bagi saya, sumbangan bakul rezeki ini adalah salah satu cara kami untuk meringankan beban.

“Keduanya, agar ibu bapa ada merasa sedikit ketenangan kerana bila mereka tenang, maka kualiti isi rumah itu akan lebih bertambah dan lebih bahagia,” katanya kepada Sinar Ahad dalam program Sulaman Kasih di Bandar Baru Sentul pada Sabtu.

Menurut Nik Justin, program kali ini adalah kolaborasi bersama Khadijah International Waqf (L) Foundation yang digerakkan bagi menyantuni keluarga asnaf di ibu negara.

Jelas beliau, ia merupakan antara inisiatif korporat yang telah dilaksanakan oleh Sinar Karangkraf sejak tiga tahun lagi demi membantu golongan masyarakat yang susah dan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Program ini bermula dari bantuan kepada mangsa banjir, kumpulan asnaf terutamanya golongan miskin bandar.

“Selain itu, kita juga buat tabung-tabung bantuan lain seperti Tabung #BantuanBencana Sinar x SyriaCare dan yang terbaru tabung untuk membantu bayi Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1.

“Semua ini merupakan inisiatif korporat Sinar Karangkraf bersama komuniti,” ujarnya.

Selain daripada itu, tambah beliau, inisiatif bakul rezeki itu juga turut mendapat tajaan rakan strategik daripada QSR Trading Sdn Bhd, Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas).

Gambar dari kiri: Nur Mustaffa, Mazlina dan Nurul Azwa
Gambar dari kiri: Nur Mustaffa, Mazlina dan Nurul Azwa

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Penjenamaan dan Pemasaran QSR Trading, Nur Mustaffa Sanny Toh berkata, syarikat berkenaan berbesar hati kerana dapat memberi sokongan dan kerjasama kepada Sinar Karangkraf buat pertama kalinya menerusi program Sulaman Kasih tersebut.

“Ini merupakan langkah pertama kita sebagai rakan strategik bersama Sinar Karangkraf dan seterusnya kita dalam perbincangan untuk teruskan sokongan (ke hadapan).

“Kita menyokong usaha Sinar Karangkraf dalam aktiviti kebajikan dan kita memberi sumbangan dari segi jumlah produk iaitu keluaran terbaru Ayamas Kitchen seperti Santan Kelapa dan Akbar Tea serta makanan dalam tin.

“Jadi kesemua barangan ini kita percaya dapat memberi manfaat kepada 115 golongan asnaf yang dipilih ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Khadijah International Waqf (L) Foundation, Mazlina Saidi berkata, sumbangan yang diberikan kepada golongan asnaf itu juga diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu langkah untuk merapatkan komuniti dengan pendidikan.

“Kami ada hasrat untuk menjangkau komuniti. Yang paling dekat sekarang ini adalah isu makanan, yang mana anak-anak yang pergi sekolah ini tidak cukup makan.

“Jadi kami dengan sahabat strategik lain ingin melancarkan dan membantu mereka supaya mendapat makanan yang bernutrisi.

“Gambaran secara besarnya ialah bukan sahaja makanan, tetapi kita nak dekatkan pendidikan juga kepada anak-anak daripada golongan yang tidak berkemampuan ini,” katanya.

Bagi salah seorang penerima bakul rezeki, Nurul Azwa Zainol, 34, turut menyifatkan pemberian tersebut sebagai sumbangan yang dapat meringankan beban keluarganya pada ketika ini.

“Saya harap di masa akan datang, bantuan-bantuan seperti ini dapat diberikan lagi kepada golongan yang memerlukan terutamanya golongan asnaf.

“Selain daripada bantu anak-anak, ia juga dapat membantu keluarga kami untuk meneruskan hidup pada masa akan datang,” katanya.

Nurul Azwa (kanan) bersama penerima bakul rezeki yang lain.
Nurul Azwa (kanan) bersama penerima bakul rezeki yang lain.