Kijang Putera raih tempat kedua kejohanan bola sepak di China

Barisan pegawai dan pemain Kijang Putera bersama para penaja sejurus tiba dari China di KLIA. Gambar kecil: Sanusi
Barisan pegawai dan pemain Kijang Putera bersama para penaja sejurus tiba dari China di KLIA. Gambar kecil: Sanusi
A
A
A

SEPANG - Pasukan Kelab Kijang Putera mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tempat kedua pada Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa 'Peace Cup' di Shenyang, China yang berakhir Jumaat.

Pencapaian membanggakan itu diraih skuad bawah 16 (B-16) dari Kelantan menerusi penyertaan yang turut melibatkan 13 buah negara.

Pada perlawanan akhir, Kijang Putera tewas di tangan wakil tuan rumah iaitu pasukan projek Olimpik 2028 China dengan jaringan 1-3.

Presiden kelab, Sanusi Osman berkata, dia tidak menyangka pasukan bimbingannya itu melangkah lebih jauh dan mencipta kejayaan pada kejohanan berprestij itu.

"Memang kami tak sangka dan berbangga walaupun hanya meraih tempat kedua. Ini adalah kejohanan peringkat antarabangsa pertama untuk pasukan ini.

"Saya bersyukur kerana pemain dapat membuktikan kemampuan serta semangat yang tinggi sepanjang kejohanan hingga berjaya ke perlawanan akhir," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari China pada Sabtu.

Turut hadir menyambut kepulangan pasukan Kijang Putera ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah serta barisan penaja antaranya Pengurus ACSON International Malaysia, Rosli Ibrahim; Pengurus Nasrom Premium Car, Datuk Khairey Saudi dan setiausaha kelab, Mohd Khairulazmaiha Nor.

Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan, pasukan U-16 itu bakal menyertai perlawanan peringkat antarabangsa di Taiwan pada November ini atas jemputan tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan teruskan latihan seperti biasa bagi memastikan prestasi dan momentum pemain berada di tahap terbaik.

"Saya berharap pasukan ini mampu mengulangi pencapaian seperti ini malah lebih baik," ujarnya.

Piala 'Peace Cup' dianjurkan oleh kerajaan Shenyang, China dan telah melibatkan 1,000 pasukan bola sepak remaja sejak mula diperkenalkan pada 2015.