Bergerak ke hadapan selepas PRN

Nik Nazmi. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nik Nazmi. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

MALAYSIA perlu bergerak ke hadapan selepas pilihan raya di enam negeri. Pilihan raya baru-baru ini menyaksikan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memenangi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Perikatan Nasional (PN) pula dominan di Kedah, Terangganu dan Kelantan – mereka juga sudah mula memasuki Pulau Pinang dan Selangor.

Sekiranya kita ingin menjadi blok utama, PH perlu menang kerusi di semua negeri. Walaupun kemenangan pilihan raya semata-mata tidak akan menyelesaikan isu perkauman yang sedang berlaku – rakyat sentiasa mengharapkan ahli-ahli politik untuk memacu kemakmuran dalam masyarakat.

Seandainya kita tidak memiliki sokongan yang besar di semua negeri, maka kita tidak memiliki peluang untuk melakukan hal ini.

Saya bangga dengan apa yang Kerajaan Perpaduan telah lakukan di Kelantan dan Terengganu. Kita telah bekerja keras walaupun mengetahui ia bukanlah kerja yang mudah. Saya percaya kita memiliki harapan dan masa untuk terus bekerja keras selepas ini.

Ketika diberikan mandat sebagai Naib Presiden KEADILAN tahun lepas, saya turut diamanahkan untuk menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) untuk Kelantan dan Terangganu.

Saya minta kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan saya lima tahun untuk membina parti di kedua-dua negeri ini – terutamanya untuk menyediakan Kelantan dan Terangganu untuk pilihan raya.

Keberadaan KEADILAN dalam Kerajaan Perpaduan datang dengan cabaran yang tersendiri, terutamanya kerajaan ini berusia kurang daripada setahun.

Artikel Berkaitan:

Ahli-ahli di peringkat akar umbi masih dalam proses untuk menerima sepenuhnya kerjasama di antara PH-BN.

Kerajaan Perpaduan telah memastikan kadar inflasi terkawal dan memulihkan imej Malaysia untuk pelabur asing.

Inisiatif RAHMAH yang telah dimulakan Allahyarham Salahuddin Ayub membantu rakyat untuk menghadapi cabaran kos sara hidup.

Apa yang lebih membanggakan, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak pernah mengabaikan kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang – beliau sentiasa berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di negeri-negeri ini.

Tiga isu utama

Apa sebenarnya yang berlaku pada PRN lepas? Pertama, kita tidak boleh menafikan sentimen di peringkat negeri. Elemen ini telah membantu Pakatan Rakyat (PR) dan seterusnya PH pada 2008-2018 ketika kita memimpin kerajaan negeri. Pada masa itu kita terpaksa berhadapan dengan Kerajaan Persekutuan yang tidak mesra dengan kita.

Pas yang dipimpin Kelantan sejak 1990 sentiasa menggunakan naratif mereka telah diabaikan oleh Putrajaya. Naratif ini turut digunakan di Kedah, dan kelihatannya telah berjaya.

Setelah keputusan PRN diumumkan, segelintir penyokong kita menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan dana pembangunan di negeri-negeri pembangkang. Tetapi kita harus kekal berprinsip dan mengabaikan seruan seperti ini.

Elemen kedua adalah sentimen untuk hal-hal umum. Keadaan ekonomi kita sedang bergerak ke arah yang betul, namun ia akan mengambil sedikit masa untuk rakyat merasakan impaknya – rakyat harus merasakan hidup mereka bukan lebih selesa dan terjamin, malah lebih bermakna dari itu.

Kita juga telah mengambil langkah kurang popular dengan peralihan kepada subsidi elektrik bersasar – tetapi kelihatannya rakyat sudah mula memahami keperluannya.

Kerajaan tidak boleh memenangi undi hanya dengan memberikan wang kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh sekadar memberitahu golongan pekerja dan kelas pertengahan yang bergelut dengan realiti kehidupan: "Bersabarlah, kami sedang berusaha untuk masa hadapan kita" berulang kali.

Bukti yang kukuh mesti ada dan rakyat mesti percaya dan merasakan kehidupan mereka akan menjadi lebih baik.

Faktor yang terakhir adalah kepentingan nilai dan prinsip. Hal ini bukan bermaksud PN lebih baik dari segi nilai atau moral berbanding PH-BN. Sebaliknya, mereka hanya berjaya membuat pengundi percaya bahawa mereka lebih baik.

Ini membantu mereka menang di tempat-tempat yang sukar. Kewujudan defisit kepercayaan dan nilai yang sedang dihadapi masyarakat Malaysia telah dimanfaatkan PN sepenuhnya.

Bergerak ke hadapan

KEADILAN di semua negeri mesti memperkuatkan jenteranya. Kita perlu mencalonkan individu layak yang dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah golongan muda dan wanita.

Kita memerlukan cendekiawan Islam yang boleh mewakili idealisme KEADILAN dan memberikan alternatif kepada calon-calon PAS.

Kita juga menerima cadangan supaya Kerajaan Perpaduan memiliki komunikasi yang lebih baik, atau memiliki naratif yang lebih kemas.

Semua ini bergantung bagaimana kita menghadapi tiga elemen yang saya sebutkan di atas. Cuma, terdapat beberapa cabaran terhadap isu-isu ini.

Kini, kita hidup dalam dunia yang memperlihatkan kepercayaan terhadap institusi dan fakta-fakta telah terhakis – Malaysia turut menerima kesan yang sama.

Namun hal ini tidak bermakna kita harus berhenti memberikan maklumat kepada rakyat tentang apa yang telah kita lakukan – kita harus sentiasa relevan dalam dunia media sosial yang berkembang.

TikTok dan podcast yang begitu berpengaruh dalam pilihan raya 2022 dan 2023; lambat-laun akan menjadi lapuk.

Sesuatu yang lain akan menggantikan tempat mereka menjelang PRU16 – persoalannya adakah PH dapat menguasainya sebelum PN?

Pada dasarnya, langkah ke hadapan melibatkan memenangi dan mengekalkan – kepercayaan baik rakyat ketika reformasi nasional sedang berlangsung.

Kita mesti mengatasi kebimbangan tentang kaum dan agama yang dirasai rakyat tanpa mengira identiti. Inilah masa terbaik nilai dan prinsip memainkan peranan yang penting.

Rakyat yang bimbang tentang nasib kaum atau agama mereka tidak semestinya rasis atau berfikiran sempit. Apa yang berlaku di Malaysia adalah kebimbangan ekonomi mereka sering dieksploitasi untuk tujuan politik identiti.

Sebaliknya, mereka memerlukan pemimpin yang memberi keyakinan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia adalah jalan yang terbaik untuk negara.

Saya percaya KEADILAN dan PH adalah blok terbaik untuk kepemimpinan seperti ini – cuma, kita perlu bekerja keras untuk memenangi hati rakyat.

KEADILAN dan PH mesti terus memperjuangkan reformasi ekonomi dan politik sambil menegakkan muafakat perlembagaan Malaysia—termasuk kedudukan Islam, Raja-Raja dan Bahasa Melayu.

Reformasi amat penting, tetapi rakyat mesti percaya bahawa kita sedang menyediakan solusi yang menyeluruh.

Hal ini termasuklah memerangi rasuah, memperkuatkan institusi awam dan tadbir urus yang baik, serta menangani defisit demokrasi Malaysia seperti ketidaksamaan pengagihan kerusi Parlimen dan negeri.

Ini bermaksud membantu dan mengangkat martabat semua rakyat Malaysia sambil memastikan agenda pemberdayaan Bumiputera berkembang dan relevan dengan realiti semasa.

Aspek yang sudah banyak diperdebatkan dan dipersetujui kurang tepat adalah mengambil perhatian yang berlebihan pada konservatisme etno-agama.

Cuma, ia juga salah untuk hanya menolak pengundi yang mengundi mengikut agama atau pengundi luar bandar dengan tanggapan mereka tidak patut dipedulikan hanya kerana mereka berkemungkinan tidak mengundi kita.

Sebaliknya, kita mesti memahami kebimbangan semua rakyat Malaysia. Kita mesti tunjukkan kepada mereka bahawa ketakutan dan aspirasi mereka tidak begitu berbeza antara satu sama lain dan bagaimana pendekatan sederhana dan progresif KEADILAN adalah cara terbaik untuk menangani masalah mereka secara kolektif.

Harapan untuk kita semua

Naratif yang diperlukan oleh KEADILAN dan PH adalah kita akan menjaga rakyat untuk keperluan semasa sambil mempersiapkan negara untuk masa hadapan. Rakyat perlu percaya kita akan adil untuk semua lapisan ahli masyarakat di Malaysia.

Percubaan untuk mengekalkan suhu panas dalam arena politik akan berterusan dalam minggu-minggu, bulan-bulan, dan tahun-tahun mendatang.

Seandainya KEADILAN dan PH dapat mencapai keseimbangan yang tepat dan terus berprestasi tinggi – kita dapat memastikan bukan sahaja kejayaan politik tetapi juga masa hadapan yang jauh lebih cerah bagi Malaysia.

Sesetengah orang menganggap bahawa Malaysia tidak memiliki masa hadapan yang cerah.

Namun, saya berpendapat bahawa walaupun kita mesti sentiasa bersedia dan waspada, kita seharusnya optimis terhadap masa hadapan Malaysia.

* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Naib Presiden KEADILAN dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim.