Gagal daftar pemain import bukan sebab kes FIFA - Zamsaham

Zamsaham
Zamsaham
A
A
A

KEGAGALAN pasukan Kelantan FC untuk mendaftarkan import baharu pada jendela perpindahan kali ini bukan kerana sekatan kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebaliknya, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menjelaskan masalah 'Transfer Matching System' (TMS) sebagai punca empat pemain import baharu skuad Pantai Timur itu gagal didaftarkan.

"Tiada kena mengena dengan kes FIFA. Kerana itulah TRW Kelantan FC dapat lepas 'Transfer Ban' pada 27 Julai 2023.

"Hal ini sebenarnya adalah hal teknikal TMS.

Semoga Kelantan FC dapat hanya untuk daftar pemain.

Terima kasih semua yang faham," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

Sebelum ini, Kelantan FC telah merekrut empat pemain import baharu iaitu Aliakbar Ahmadi, Allie Sisse, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening pada jendela perpindahan kali ini.

Namun, skuad The Red Warriors itu mendapat khabar duka apabila kesemua pemain itu gagal didaftarkan dan tidak dapat beraksi sehingga timbul dakwaan ia bersangkut paut dengan kes sekatan perpindahan yang sedang dihadapi Kelantan FC.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham seolah-oleh menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang lambat membantu pasukan itu mengenai masalah TMS menjadi punca kelab itu gagal mendaftar pemain import baharu.

"Pemain asing sepatutnya sudah boleh bermain untuk Kelantan FC, tetapi ada masalah teknikal memerlukan bantuan FAM.

Hanya FAM yang boleh bantu masalah Kelantan FC dalam hal TMS ini.

"Apapun, saya hanya mahu pemain asing saya didaftarkan.

Janganlah hanya ada orang yang tidak suka akan saya atau Kelantan FC, hak untuk mendaftar pemain baru dinafikan.

"Biarlah main di padang yang sama rata.

Kalau Kelantan kalah biarlah kalah kerana mutu pengadil yang adil dan FAM yang bijaksana," ujarnya.