Polis buru penumpang tipu wang tambang e-hailing

Tangkap layar rakaman video memaparkan seorang penumpang yang dipercayai menipu wang tambang bayaran khidmat e-hailing sebelum terjun keluar dari kenderaan di Klang, baru-baru ini. (Gambar kecil:Hoong Fong)
Tangkap layar rakaman video memaparkan seorang penumpang yang dipercayai menipu wang tambang bayaran khidmat e-hailing sebelum terjun keluar dari kenderaan di Klang, baru-baru ini. (Gambar kecil:Hoong Fong)
A
A
A

KLANG - Polis giat memburu seorang lelaki dipercayai warga tempatan bagi membantu siasatan kes tipu wang tambang bayaran perkhidmatan e-hailing, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan kejadian itu diterima Balai Polis Pandamaran pada jam 8.59 pagi, Rabu lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu terbabit (mangsa) telah menerima pesanan melalui aplikasi e-hailing untuk mengambil penumpang di hadapan sebuah kedai serbaneka di Lorong Batu Nilam 1B, Klang dan dihantar ke sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh.

"Mangsa mengambil penumpang tersebut sebelum mengesyaki lelaki terbabit pernah menggunakan perkhidmatannya ke alamat yang sama sebelum ini namun tidak membuat bayaran tambang dan melarikan diri apabila tiba di lokasi.

"Mangsa percaya penumpang itu akan melakukan perkara yang sama sebelum dibawa ke balai polis berdekatan iaitu Balai Polis Pandamaran Klang bagi mengambil tindakan kerana kes sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, apabila sampai di hadapan pintu pagar Balai Polis Pandamaran, penumpang (suspek) terbabit telah bertindak membuka pintu penumpang sebelah kiri dan terjun keluar melarikan diri.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada kereta mangsa akibat terkena tembok pintu pagar balai terbabit.

Susulan itu, kata Hoong Fong, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis sedang berusaha untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkan maklumat terus kepada Ketua BSJK IPD Klang Selatan, Asisten Superintenden Mohd Zamri Mohd Nor di talian 017-7088835 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan 03-33762222," ujarnya.

Sebelum itu, satu video yang dirakam di dalam kereta pemandu e-hailing itu tular di media sosial Facebook.

Video terbabit telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan terdapat juga beberapa pemandu e-hailing lain yang mengadu mengalami perkara sama dengan mangsa sebelum ini.