Penduduk kampung sepakat kumpul duit pasang Jalur Gemilang

Sebahagian penduduk Kampung Gong Penaga, Pasir Panjang di Kuala Terengganu mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Sebahagian penduduk Kampung Gong Penaga, Pasir Panjang di Kuala Terengganu mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penduduk di Kampung Gong Penaga, Pasir Panjang di sini menyemarakkan sambutan hari kebangsaan tahun ini dengan cara tersendiri bagi memastikan hari bersejarah itu terus terpahat dalam ingatan.

Seorang penduduk, Muhammad Norfiruddin Baharom, 34, berkata, mereka sepakat mengumpul duit untuk membeli bendera yang akan dipasang di sekitar kediaman dan kawasan kampung.

Menurutnya, perancangan untuk memeriahkan kawasan kampung dengan kibaran Jalur Gemilang sudah dimulakan sejak minggu lalu.

"Sebenarnya untuk tahun-tahun sebelum ini, belum ada lagi bendera dipasang secara besar-besaran di kampung ini. Jadi kali ini atas kesedaran bersama, kami berpakat untuk pasang bendera di rumah masing-masing dan di kawasan kampung.

"Kami menggunakan aplikasi mudah alih WhatsApp Komuniti Kampung Gong Penaga sebagai medium untuk menyampaikan maklumat dan berkongsi pendapat sempena sambutan hari kebangsaan kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Menurut Muhammad Norfiruddin, dianggarkan 30 buah rumah terdiri daripada 100 orang penduduk terlibat untuk membeli dan memasang kira-kira 70 Jalur Gemilang pelbagai saiz di kampung berkenaan.

"Kami juga berhasrat untuk membina replika, mungkin juga replika Jambatan Angkat tetapi ia masih dalam proses.

"Harap-harap boleh jadi kenyataan sekiranya masing-masing terus sepakat untuk sama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun hari kebangsaan kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Farah Nasuha Ramli, 29, berkata, memandangkan Terengganu baru selesai mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, adalah lebih baik bendera parti ditukar kepada Jalur Gemilang.

"Bila saya melalui sekitar kawasan kampung dan bandar, saya rasa suasana belum cukup meriah dan seolah-olah tak lengkap kerana tak banyak bendera yang dipasang sedangkan kita sudah hampir untuk sambut ulang tahun kemerdekaan.

"Jadi, saya terfikir kenapa kita tidak sepakat untuk kumpul duit dan pasang sendiri Jalur Gemilang di kawasan kampung," katanya.

Senada dengan Farah Nasuha, Noraini Mohd Lazim, 36, berkata, sudah tiba masanya suasana di kawasan masing-masing dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang.

"Disebabkan kita baru sahaja selesai pilihan raya, alangkah bagus jika bendera parti itu diturunkan dan ditukar kepada bendera Malaysia supaya semangat patriotik dan cintakan negara dapat diterapkan dalam diri masing-masing.

"Saya rasa masa untuk kita berpolitik sudah selesai. Tiba masa untuk kita sama-sama raikan dan hayati hari penuh bersejarah ini," ujarnya.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun yang bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan negara ini.

Ia juga bertepatan dengan hasrat mahu menyatu padukan rakyatnya dengan semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam suasana aman dan sejahtera.