Nenek 75 tahun dicabul, disamun

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Seorang nenek bukan sahaja menjadi mangsa samun malah dicabul seorang lelaki dalam satu kejadian di Pokok Assam dekat sini, Selasa lalu.

Kejadian sekitar jam 8.40 pagi itu berlaku di hadapan rumah mangsa berusia 75 tahun mengakibatkan kerugian lebih RM5,000.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, semasa kejadian mangsa dikatakan berada seorang diri di halaman rumah sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, suspek yang menutup muka dengan kain telah menarik mangsa masuk ke dalam rumah dan mencabul mangsa.

"Suspek kemudiannya melepaskan diri dengan menaiki kenderaan jenis Honda HRV milik menantu mangsa dan melarikan barang berharga serta wang tunai.

"Kenderaan itu bagaimanapun berjaya dijumpai semula selepas ditinggalkan kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, susulan daripada laporan dibuat, polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek pada hari yang sama.

Katanya, lelaki warga tempatan berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Pokok Assam sekitar jam 3.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Saringan awal air kencing mendapati suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis heroin.

"Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul serta Seksyen 392/397 kanun sama kerana merompak," katanya.