Mahkamah tinggi tolak rayuan bekas pegawai Perhilitan

Abu Zahrim Ismail, 46, didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung pembelian bernilai RM23,400 daripada Perhilitan Pahang, enam tahun lalu.
Abu Zahrim Ismail, 46, didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung pembelian bernilai RM23,400 daripada Perhilitan Pahang, enam tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengetepikan hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan mahkamah sesyen terhadapnya pada 27 Ogos tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dengan mengekalkan sabitan dan hukuman serta memerintahkan hukuman penjara berjalan hari ini.

Zainal Azman dalam penghakimannya mendapati, keputusan yang dibuat mahkamah sesyen terhadap Abu Zahrim Ismail, 46, yang didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung pembelian bernilai RM23,400 daripada Perhilitan Pahang, enam tahun lalu adalah tepat.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira dan menimbang semula seluruh keterangan saksi saksi termasuk tertuduh.

"Mahkamah menilai seluruh keterangan yang ada dengan modus operandi serta peranan tertuduh dan dapati pembayaran telah dibuat namun pembekalan barangan tidak diterima oleh Perhilitan.

"Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan terhadap tertuduh. Justeru mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman serta menolak rayuan," katanya.

Tertuduh menerusi peguamnya Datuk Hanif Hassan, memohon penangguhan pelaksanaan hukuman untuk membuat rayuan di mahkamah rayuan.

Bagaimanapun, Zainal Azman meminta perayu membuat permohonan berkenaan secara formal dan sementara ia dibuat, Abu Zahrim akan dihantar ke penjara.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Pada 27 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Dazuki Ali menjatuhkan hukuman denda RM117,000 dan empat tahun penjara terhadap Abu Zahrim selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung pembelian 88 unit beg kembara bernilai RM23,400 pada 2013.

Abu Zahrim didapati bersalah memperdaya Ketua Pengarah Perhilitan membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise di Pejabat Penguasa Taman Negara Jerantut di sini pada 28 November 2013.

Tuntutan tersebut didakwa mengandungi pembelian 28 unit beg Haversack 75 liter jenama Deuter dan 60 unit Dry Pack 30 liter sedangkan barangan tersebut tidak diterima.

Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.