Ten Hag gembira Maguire kekal di United

Maguire akan kekal di United selepas perpindahannya ke West Ham tidak menjadi kenyataan.
Maguire akan kekal di United selepas perpindahannya ke West Ham tidak menjadi kenyataan.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag gembira pertahanan tengahnya, Harry Maguire kekal di Old Trafford selepas perpindahannya ke West Ham United tidak menjadi kenyataan.

Bekas kapten Red Devils itu sepatutnya dijangka meninggalkan United selepas West Ham berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Pengendali West Ham, David Moyes mengesahkan bahawa perjanjian telah dicapai antara kedua-dua kelab, tetapi menutup mulut mengenai perkembangan perjanjian tersebut.

“Kami telah menerima tawaran daripada Manchester United, tetapi dia bukan pemain kami dan saya tidak boleh membicarakan mengenai perkara tersebut," kata Moyes.

Namun, difahamkan Maguire tidak mahu berpindah dan menyebabkan West Ham terpaksa mencari alternatif lain untuk mengisi bahagian pertahanan tengah pasukan itu.

Keenganan Maguire itu juga meletakkan dia dalam keadaan sukar terutama masa depannya di Old Trafford selepas dilucutkan lilitan kapten dan gagal memenangi tempat dalam kesebelasan utama di bawah Ten Hag.

Bagaimanapun, Ten Hag positif dan berpuas hati mengetahui Maguire mahu kekal, namun menegaskan pemain England itu perlu berjuang untuk mengekalkan tempatnya dalam pasukan.

“Dia mempunyai keupayaan untuk menjadi pertahanan tengah dunia dan merupakan salah seorang pemain terbaik di England.

Artikel Berkaitan:

“Jadi mengapa dia tidak boleh menjadi pemain yang terbaik untuk kami? Dia perlu membuktikannya.

“Apabila dia tidak cukup yakin untuk bertarung (merebut tempat di United), maka dia perlu pergi. Namun, dia telah membuat keputusan (untuk kekal) dan saya gembira dengan keputusan itu," katanya.