West Ham United juara Liga Konferensi

Pemain West Ham meraikan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Konferensi selepas menewaskan Fiorentina di Eden Arena pada Khamis. - Foto Agensi
Pemain West Ham meraikan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Konferensi selepas menewaskan Fiorentina di Eden Arena pada Khamis. - Foto Agensi
A
A
A

WEST Ham United menamatkan penantian panjang untuk menjulang kejuaraan kelab Eropah apabila menewaskan Fiorentina 2-1 dalam perlawanan akhir Liga Konferensi di Eden Arena, awal pagi Khamis.

Jaringan minit ke-90, Jarrod Bowen memastikan The Hammers dari London kendalian David Moyes merangkul trofi Eropah pertama dalam tempoh lebih setengah abad.

Perlawanan di Prague seolah-olah seperti menuju ke masa tambahan sebelum percubaan Bowen yang menyudahkan sentuhan Lucas Paqueta menewaskan penjaga gol Fiorentina, Pietro Terracciano.

The Hammers terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan pada minit ke-62 apabila Said Benrahma menyempurnakan sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Giacomo Bonaventura kembali menyamakan kedudukan buat kelab Serie A kendalian Vincenzo Italiano tersebut selepas menewaskan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.

Sementara itu, Bowen menyifatkan jaringannya pada minit terakhir sesuatu yang sangat bermakna.

"Setiap perlawanan saya bermimpi untuk menjaringkan gol tetapi untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir sesuatu yang fantastik. Untuk melakukannya di hadapan para penyokong West Ham, saya hanya menangis dalam kegembiraan.

"Kami mempunyai impian, namun tidak mempunyai musim terbaik, termasuk saya sendiri, tetapi untuk memberikan para penyokong West Ham detik ini, saya sangat gembira.

"Tidak pernah rasa detik sebegini dalam hidup saya. Ini adalah perlawanan terbesar dalam kerjaya saya. Ya, cukup beremosi, sangat gembira umpama berada di atas bulan," kata Bowen.