Penghantaran pulang pelarian Rohingya batal

Pelarian Rohingya enggan pulang kerana bimbang keselamatan diri. - Foto Bloomberg News
Pelarian Rohingya enggan pulang kerana bimbang keselamatan diri. - Foto Bloomberg News
A
A
A
COX’S BAZAR - BANGLADESH. Penghantaran pulang pelarian etnik Muslim Rohingya ke Myanmar tidak akan bermula hari ini seperti dirancang, kata dua sumber yang diberi taklimat langsung mengenai perkara itu semalam.

Bangladesh telah memulakan persediaan menghantar pulang kumpulan pertama pelarian Rohingya ke Rakhine hari ini, sejajar dengan pelan dua hala dipersetujui antara dua kerajaan pada Oktober lalu.

Rancangan itu bagaimanapun dibantah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bimbang keselamatan etnik Rohingya di Myanmar.

Bangladesh berikrar untuk tidak memaksa sesiapa kembali dan meminta Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) memastikan mereka yang disenarai pendek untuk pulang, benar-benar mahu kembali ke negara itu.

“Ia tidak berlaku esok (hari ini) kerana tiada siapa mahu pulang,” kata satu daripada sumber.

Kerajaan Bangladesh bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas.

Penghantaran pulang kumpulan pertama seramai 2,200 pelarian sepatutnya secara rasmi bermula hari ini dan pihak berkuasa di Myanmar berkata, mereka telah bersedia untuk tujuan itu.

Lebih 700,000 etnik Rohingya lari daripada tindakan keras tentera di Rakhine tahun lalu.

Pelarian Rohingya mendakwa, tentera tempatan membunuh keluarga, membakar ratusan perkampungan dan melakukan rogol beramai-ramai.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, puluhan keluarga pelarian Rohingya yang berada dalam senarai penghantaran pulang ke Myanmar pada minggu ini lari meninggalkan kem di Bangladesh. - Reuters