Tanding semua kerusi DUN Sabah, SAPP perlu jelas pendirian kepada PN

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
A
A
A
KOTA KINABALU, - Datuk Yong Teck Lee perlu menjelaskan pendirian beliau kepada Perikatan Nasional (PN) pusat mengenai cadangannya supaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu dibuat atas kapasiti parti sebagai anggota GRS tanpa mengambil kira kedudukannya di peringkat nasional.

"PN Sabah juga menegaskan bahawa tiada mana-mana parti yang boleh menghalang parti politik lain, termasuk PN, untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi di Sabah," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad lepas, Yong yang juga Timbalan Presiden GRS berkata, gabungan itu harus bertanding di kesemua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang dan tiada keperluan berunding dengan parti bukan tempatan untuk bekerjasama.

GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah, SAPP, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
Artikel Berkaitan:


SAPP juga merupakan parti komponen PN di peringkat nasional bersama Bersatu, PAS dan Gerakan. - Bernama