'Kestabilan politik penting untuk tingkat ekonomi, taraf hidup rakyat'

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan (depan tiga, kanan) bergambar bersama pemenang acara Larian 4x100 Meter Lelaki Bawah 14 Tahun semasa Tinjauan dan Program Ramah Mesra Timbalan Menteri Kewangan 1 bersama Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian di sini hari ini. - Foto: Bernama
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan (depan tiga, kanan) bergambar bersama pemenang acara Larian 4x100 Meter Lelaki Bawah 14 Tahun semasa Tinjauan dan Program Ramah Mesra Timbalan Menteri Kewangan 1 bersama Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian di sini hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PONTIAN - Kestabilan politik penting bagi meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap ekonomi negara dan juga menaik taraf kehidupan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang selesai baru-baru ini tidak mengubah apa yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan dan menambah bahawa kerajaan perpaduan masih stabil dan teguh.

"Kestabilan kerajaan pusat itu amat penting untuk kita meneruskan perjalanan, (menaik taraf) kehidupan rakyat dan peningkatan tahap ekonomi negara (serta) memberi keyakinan kepada pelbagai pihak di luar sana untuk terus melabur di pasaran modal ataupun pasaran saham.

"Kestabilan politik adalah tajuk utama kenapa pelaburan datang ke Malaysia dalam semua bentuk sama ada pembuatan, pasaran modal dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan dan program ramah mesra Timbalan Menteri Kewangan 1 bersama Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian, di sini pada Selasa.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRN yang melibatkan enam negeri pada Sabtu lepas.

Pada pilihan raya itu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala Perikatan Nasional menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu. - Bernama

Artikel Berkaitan: