Wujudkan satu kerangka jelas tingkat ekonomi

Kerajaan digesa wujudkan satu kerangka jelas bagi menaik taraf ekonomi negara. Gambar kecil: Jonnybone
Kerajaan digesa wujudkan satu kerangka jelas bagi menaik taraf ekonomi negara. Gambar kecil: Jonnybone
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk mewujudkan satu kerangka jelas bagi menaik taraf ekonomi negara, kata Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jonnybone Kurum.

Menurut beliau, ini kerana ekonomi merupakan cabaran paling utama yang dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan kini.

“Paling penting sekarang ini adalah berada dalam landskap yang betul iaitu menstabilkan politik dahulu.

"Sekiranya ia stabil, ada pelabur datang, kemudian ada peluang pekerjaan, ada kuasa beli daripada rakyat, kemudian ekonomi kita dapat dijana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH), Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, perpaduan merupakan elemen terpenting bagi mencapai kestabilan.

“Tanpa perpaduan kita tidak akan ada kestabilan seterusnya tidak ada perkembangan. Tanpa perkembangan, kita tak ada transformasi. Tanpa transformasi, kita tidak ada kesejahteraan.

“Oleh itu, dalam satu negara yang berbilang bangsa, perbezaan ini sepatutnya dilihat sebagai kekuatan. Bukan sebagai halangan atau sesuatu yang memisahkan kita. Inilah negara kita yang tercinta,” ujarnya.