Pahang rancang bangunkan TTBL

Wan Rosdy (tengah) memberitahu kerajaan negeri merancang membangunkan TTBL.
Wan Rosdy (tengah) memberitahu kerajaan negeri merancang membangunkan TTBL.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) berkonsepkan pusat pembangunan bersepadu industri bernilai tinggi dengan teknologi mesra alam, pendigital, sumber manusia yang berpengetahuan dan kompeten.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut diharap dapat membantu mengimbangi pembangunan ekonomi di seluruh Pahang, terutama dalam merapatkan jurang pembangunan antara Pahang Barat dan Pahang Timur.

Menurutnya, cadangan TTBL itu terkandung di dalam Laporan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pada 3 Jun tahun lepas.

"lni selaras dengan Pelan Transformasi lndustri Mineral 2021-2030 di mana kerajaan bercadang untuk menjadikan Malaysia salah satu hub pembangunan industri mineral yang memiliki rantaian lengkap.

"Ini kerana permintaan bahan hasil mineral telah meningkat begitu tinggi dan akan terus berkembang pada masa akan datang kerana peningkatan permintaan produk pengguna elektrik dan elektronik di dunia," kata beliau dalam hantaran Facebook miliknya pada Selasa.

Ujar beliau lagi, dengan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar utama dunia bahan hasil mineral dan sektor elektrik dan elektronik yang merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, menjadikan pertembungan aktiviti sumber huluan dan potensi pembangunan industri hiliran serta bagi menyokong pembangunan ekonomi RMK-12, sektor mineral perlu diberi perhatian khusus dan dibangunkan.

"Terdapat dua komponen pembangunan bagi TTBL iaitu Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) merangkumi beberapa komponen iaitu pusat pendidikan, latihan dan penyelidikan yang dapat membangunkan teknologi baharu dan menghasilkan tenaga kerja mahir dalam bidang mineral.

"Selain itu, Pusat Pemprosesan Mineral di Sungai Temau iaitu pusat pemprosesan mineral ini dapat memanfaatkan sumber semula jadi sedia ada dan dapat mewujudkan industri bernilai tinggi di peringkat pertengahan dan hiliran tanpa perlu menghantar sumber mineral luar dari negeri Pahang untuk diproses," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, berdasarkan keperluan industri mineral negara, cadangan penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis, adalah amat wajar dilaksanakan.

Jelas beliau, AMMP akan berperanan sebagai sebuah pusat pembelajaran yang menawarkan program sijil, latihan, kursus pendek, diploma dan perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral dan pusat sehenti bagi maklumat pembangunan mineral untuk negeri Pahang khasnya dan negara amnya dengan kampus sementara AMMP akan dimulakan di Lipis Centrepoint, Lipis.

"Kerajaan negeri amat komited dalam usaha untuk mewujudkan sinergi pembangunan yang lebih menyeluruh bagi Pahang. Oleh itu, Pahang Skills Development Centre (PSDC) dilantik sebagai peneraju pembangunan Akademi Mineral Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selaku perunding," ujar beliau.