Pas diminta tunai janji laksana hukum hudud di Terengganu

Wan Ahmad Nizam
Wan Ahmad Nizam
A
A
A

KEMAMAN - Pas Terengganu diminta mengotakan janji untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu berdasarkan perancangan asal parti berkenaan sebelum ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, ia susulan kemenangan besar diraih parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu.

"Hari ini Pas telah dapat apa yang dia nak selama ini, di mana 32 kawasan (Dewan Undangan Negeri) telah dimenangi oleh Pas.

"Jadi saya minta Pas tunaikan janji yang selama ini ingin dibawa iaitu membuat (melaksanakan) hukum hudud di Terengganu.

"Saya syorkan dan saya sarankan kerajaan Pas membuat hukum hudud di Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan negeri dalam kenyataan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, Terengganu bersedia untuk melaksanakan sepenuhnya hukum hudud sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) 355 diluluskan di Parlimen.

Exco Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu tidak mustahil untuk dilaksanakan memandangkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diwartakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 2002.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, RUU 355 terhasil apabila Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan usul persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah terhadap kesalahan di bawah jenayah syariah.

Sementara itu, Persidangan DUN Terengganu pada 1 Disember tahun lalu telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.

Pindaan itu bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.