PRN Sabah: GRS belum bincang pembahagian kerusi

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membincangkan mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee agar GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah hanya pandangan beliau dan parti itu sendiri.

"Kita menghormati pandangan beliau ini, namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif.

"Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam GRS," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Tambah Nizam, fokus GRS sebagai Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah ialah untuk terus komited melaksanakan agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah," katanya.

Sehubungan itu, GRS menghargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan pimpinan PH Sabah terutama ketika berlaku krisis politik awal tahun ini yang ditimbulkan oleh Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.

"Sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, SAPP dilaporkan mencadangkan agar GRS meletakkan calon pada kesemua 73 Kerusi DUN pada PRN akan datang.

Teck Lee turut dilaporkan berkata bahawa tiada lagi keperluan untuk mengadakan perbincangan atau rundingan dengan parti bukan tempatan untuk dijadikan rakan dalam PRN nanti.