Lantikan Exco Negeri Sembilan akan dibuat secepat mungkin - MB

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di Resort Seri Menanti.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di Resort Seri Menanti.
A
A
A

KUALA PILAH - Lantikan 10 barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan akan dibuat secepat mungkin dan diselesaikan dalam minggu ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, nama-nama mereka akan ditentukan oleh kepimpinan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing.

"Selepas ini tugas kita ialah untuk melantik Exco seramai 10 orang dan pelantikan akan disegerakan, kita akan runding dengan semua parti.

"Kita akan bincang nisbah pembahagian kerusi yang bersesuaian dan dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Isnin.

Ujarnya, pihaknya berharap barisan Exco dilantik menampilkan gandingan muka baharu dan lama bagi memastikan kelangsungan supaya ada penerusan kepada tugasan.

Tambahnya, pelantikan itu perlu disegerakan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita juga akan pastikan baki bajet kewangan yang ada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diserahkan kepada ADUN yang menang tempoh hari.

"Kita akan terus bekerja dan sekarang ini mereka (ADUN) boleh terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan bagi memastikan kelangsungan perjalanan kerajaan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya kemungkinan akan ada jawatan Timbalan Menteri Besar, Aminuddin berkata, soal itu tiada dalam perbincangan.

Berkenaan lima DUN yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) beliau berkata, menyerahkan kepada pihak pembangkang untuk memikirkan bagaimana mereka mahu membantu rakyat di tempat mereka.

"Dia (PN) menang, biarlah dia fikir. Kalau ada apa-apa esok dia boleh bincang dengan kita," katanya.