Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

Kon Yeow (kiri) mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi Ahad.
Kon Yeow (kiri) mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua di kediaman Yang di-Pertua Pulau Pinang, Seri Mutiara, di sini.

Kon Yeow yang berusia 65 tahun mengangkat sumpah kira-kira jam 9.35 pagi di hadapan Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Kon Yeow ketika mengangkat sumpah, berikrar akan menunaikan kewajipannya sebagai Ketua Menteri dengan tujuan agar segala usahanya mencerminkan kesetiaannya kepada Pulau Pinang dan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri.

Kon Yeow diiringi isterinya, Tan Lean Kee.

Turut hadir, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan beberapa orang kenamaan yang lain.

Ketika ditemui di pekarangan Seri Mutiara, Kon Yeow menyatakan kegembiraanya selepas majlis mengangkat sumpah.

"Gembira, gembira," katanya ringkas.

Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu bukan sahaja cukup untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (kerajaan negeri) malah mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi.

Gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Kemenangan itu membuktikan PH kekal berkuasa dan mentadbir negeri ini buat penggal keempat berturut-turut.

PH yang dahulunya Pakatan Rakyat (PR) mula mentadbir Pulau Pinang selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Dalam pada itu, seperti dijangka, DAP merupakan penyumbang terbesar apabila menang kesemua 19 kerusi yang ditandingi.

Kesemua calon DAP menang dengan majoriti besar, manakala BN hanya memenangi dua daripada enam kerusi yang ditandingi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang tujuh daripada 13 kerusi manakala Amanah hanya menang satu kerusi.

BN menang di kerusi Bertam dan Sungai Acheh manakala Amanah menang selesa di Bayan Lepas.

Sementara itu, PN menang di 11 daripada 40 kerusi yang ditandingi iaitu Penaga; Permatang Berangan; Pinang Tunggal; Sungai Dua; Telok Ayer Tawar; Pulau Betong; Telok Bahang; Sungai Bakap; Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!