Hormati keputusan rakyat, kembalilah bersilaturahim - PM

Anwar berucap selepas mengikuti perkembangan keputusan rasmi pilihan raya negeri bertempat di pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Anwar berucap selepas mengikuti perkembangan keputusan rasmi pilihan raya negeri bertempat di pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang mengekalkan 'status quo' di enam negeri terbabit perlu dihormati, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan telah dibuat rakyat melalui proses demokrasi, justeru sebarang masalah perundangan atau protes perlu dibuat mengikut peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR).

"Setelah bertarung yang kadang-kadang suhunya agak panas, ini waktunya semua rakyat dan parti, sama ada menang atau kalah kembali bersilaturahim, menjaga keamanan negara dan terus membela nasib rakyat.

"Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Persekutuan, yang terus kekal dan kukuh selepas keputusan PRN ini, akan terus berkhidmat.

"Mulai Isnin, kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan kerjas bekerja supaya Malaysia dapat mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya ketika berucap di di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.

Mengulas mengenai kemenangan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata kejayaan tersebut adalah hasil permuafakatan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ini berlaku kerana muafakat yang tercapai dalam kalangan semua parti (PH dan BN), termasuk rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang turut memberi dokongan yang baik,” katanya.

Pentadbiran kerajaan di enam negeri pilihan raya negeri (PRN) kekal berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 9.30 malam, Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Gabungan PH-BN terus menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu.