Penerima zakat dikesan punyai simpanan ratusan ribu

MUIP mengenal pasti terdapat penerima bantuan zakat bulanan daripada agensi itu mempunyai wang simpanan hingga ratusan ribu. - Gambar hiasan
MUIP mengenal pasti terdapat penerima bantuan zakat bulanan daripada agensi itu mempunyai wang simpanan hingga ratusan ribu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengenal pasti terdapat penerima bantuan zakat bulanan daripada agensi itu mempunyai wang simpanan hingga ratusan ribu, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman.

Justeru, beliau berkata, penting bagi melaksanakan pemutihan supaya bantuan zakat hanya disalurkan kepada individu yang sememangnya layak.

Katanya, selepas melaksanakan pemutihan pihaknya akan menamatkan bantuan kepada mereka yang keluar dari Pahang, tidak dapat dihubungi dan pendapatan sudah tidak melayakkan mereka bergelar asnaf.

"Terkini kami sedang kenal pasti lagi individu yang mempunyai simpanan dalam bank. Ada yang kami dapati mempunyai simpanan hingga ratusan ribu dan masih menerima bantuan bulanan.

"Selepas semakan dan pengesahan dilaksanakan, kita akan hentikan bantuan kepada mereka serta-merta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Bantuan Zakat di sini pada Sabtu.

Asmadi berkata, bantuan yang diberikan adalah untuk menampung keperluan dan bukan sebagai tabungan, selain menambah pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan ketua kampung serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan pemutihan.

Menurutnya, hingga kini MUIP merekodkan 11,146 penerima bantuan bulanan di seluruh Pahang yang menerima bantuan dalam bentuk tunai dan baucar.

Pada majlis berkenaan, lebih RM410,551 wang zakat telah diagihkan bagi tujuan sumbangan komputer riba kepada anak asnaf yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar miskin cemerlang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, buat julung kalinya MUIP melaksanakan program "MUIP Food Rider" dengan menyediakan bantuan motosikal kepada 10 asnaf bagi menjana pendapatan sebagai penghantar makanan. - Bernama