Bayi tujuh bulan, sudah dua kali keluar 'mengundi'

Ernita (kiri) bersama anak, Harith Marteen serta dua anak saudara selesai membuang undi di SJK (C) Selayang Baru jam 2 petang.
Ernita (kiri) bersama anak, Harith Marteen serta dua anak saudara selesai membuang undi di SJK (C) Selayang Baru jam 2 petang.
A
A
A

SELAYANG - Walaupun baru berusia tujuh bulan, Harith Marteen Zamhury telah merasai pengalaman dua kali mengundi dalam tempoh kurang setahun.

Ernita Buyong, 34, berkata, anaknya itu dibawa mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu dan kali kedua semasa pilihan raya negeri (PRN), pada Sabtu.

"Sudah dua kali saya bawa anak mengundi, kali pertama masa dia berada dalam kandungan, kali kedua hari ini pada usia tujuh bulan. Mengundi di tempat sama dan saluran sama," kata Ernita di Pusat Undi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru pada Sabtu.

Ernita yang keluar agak lewat untuk mengundi berkata, dia terkejut dengan keadaan pusat mengundi yang lengang.

"PRU lepas orang beratur panjang namun disebabkan ketika itu saya sedang mengandung, diberikan laluan khas jadi tak perlu beratur.

"Kali ini pula, saya lihat situasi lengang, tak perlu beratur dan boleh terus masuk ke saluran mengundi," katanya.

Katanya, walaupun agak sibuk menguruskan perniagaan, dia tetap mencuri masa untuk keluar mengundi bagi memilih calon yang tepat untuk diangkat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Muhamad Zamri Husrain, 55, berkata, dia memilih waktu petang untuk keluar mengundi bagi mengelak bersesak di pusat undi.

Artikel Berkaitan:

"Kebetulan pagi ada urusan hantar anak untuk dialisis, jadi selepas selesai barulah pergi ke pusat mengundi bersama anak.

"Keadaan memang lengang mungkin disebabkan orang malas keluar kerana baru saja mengundi November lalu," katanya.

Muhamad Zamri (kiri) bersama anak selesai membuang undi di SJK (C) Selayang Baru pada Sabtu.
Muhamad Zamri (kiri) bersama anak selesai membuang undi di SJK (C) Selayang Baru pada Sabtu.

Bagaimanapun pesara tentera itu berkata, dia tetap keluar mengundi atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih kerajaan.

"Semua enam ahli keluarga saya turut keluar mengundi. Isteri dan anak telah keluar undi awal pagi dan saya pula pergi asing kerana hantar anak dialisis.

"Pilihan raya yang berlangsung dua kali dalam tempoh kurang setahun memang menyusahkan rakyat selain menelan belanja yang besar, namun sebagai pengundi tetap perlu juga keluar undi supaya tak salah pilih kerajaan negeri," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!