PRN Selangor: Bertongkat bukan penghalang buang undi

Gambar dari kiri: Pock Fatt, Azman, Nurilfiqah, Nurilyana Maisarah
Gambar dari kiri: Pock Fatt, Azman, Nurilfiqah, Nurilyana Maisarah
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki penghidap penyakit kronik tetap bersemangat memandu sendiri ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kelang Gate bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

Peniaga, Azman Ali Ahmad, 43, yang menghidap penyakit angin ahmar sejak tujuh tahun lalu itu hadir mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dengan bertongkat sambil ditemani anggota bertugas.

Azman yang hidup sebatang kara itu berkata, dia bersemangat untuk mengundi hari ini kerana menyokong kawan lamanya yang menjadi salah seorang calon DUN berkenaan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Jadi apabila saya tahu dia bertanding, maka saya perlu datang memberi sokongan," katanya ketika ditemui di pusat mengundi pada Sabtu.

Dalam pada itu, warga emas yang juga seorang usahawan, Foong Pock Fatt, 85, pula meminta orang ramai untuk keluar mengundi kerana ia penting bagi menentukan kerajaan negeri dan juga masa depan rakyat.

Ujarnya, meskipun umur lebih 80 tahun, ia tidak menjadi penghalang buatnya untuk hadir mengundi.

"Ini satu tanggungjawab demi kestabilan negara dan ekonomi. Saya dan isteri masing-masing berpecah, di mana di mengundi di kawasan Cheras," katanya.

Sementara itu, pengundi muda, Nurilyana Maisarah Darmawi, 22, dan Nurilfiqah Darmawi, 19, berkata, golongan muda perlu sedar kepentingan mengundi bagi membentuk sebuah negara yang aman dan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil kesempatan cuti semester untuk mengundi, ini tanggungjawab kita sebagai rakyat.

"Satu lagi, kita mahu perubahan yang lebih baik jadi tunaikan kewajipan bagi memastikan ia dapat dilakukan," ujarnya.