Hajat ke sekolah bertukar tragedi

Polis ketika melakukan siasatan kemalangan di Kilometer 355 Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu hari ini. FOTO - POLIS
A
A

RAUB - Hajat seorang pelajar ke sekolah bertukar tragedi apabila maut selepas motosikalnya terlanggar sebuah treler di Kilometer 355 Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Lee Mei Kei, 17, dari Kampung Sungai Chetang dikatakan dalam perjalanan dari rumah menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave dan terlanggar treler tersebut ketika keluar dari simpang berhampiran Restoran Rasa Rindu.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang seorang diri telah terperosok di bahagian tayar tengah treler.

"Ketika kejadian mangsa memakai topi keledar namun mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan.

"Kita sudah menjalankan ujian air kencing terhadap pemandu treler berusia 61 tahun itu namun keputusannya negatif.

"Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini," katanya.