'Maaf saya lewat sikit' - Mat Jeliro

Ahmad (kanan) dan Nor Azma (kiri) menunjukkan jari berdakwat masing-masing selepas selesai mengundi pada Sabtu.
Ahmad (kanan) dan Nor Azma (kiri) menunjukkan jari berdakwat masing-masing selepas selesai mengundi pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - “Maaf saya lewat sikit.” Itu reaksi spontan Calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang terlewat setengah jam ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh di sini pada Sabtu.

Calon itu, Ahmad Deraman atau dikenali Mat Jeliro sepatutnya dijadualkan membuang undi pada jam 8.30 pagi, namun hanya tiba pada jam 9 pagi.

Ahmad berkata, tidak dapat datang lebih awal kerana melayani penduduk dan saudara-mara yang hadir ke rumahnya untuk memberi sokongan pada hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) itu.

“Saya minta maaf terlewat kerana tadi ada tetamu datang rumah bertemu mata termasuk anak-beranak.

Ahmad (tengah) membantu pengundi berkerusi roda pada Sabtu.
Ahmad (tengah) membantu pengundi berkerusi roda pada Sabtu.

“Mereka memberikan semangat untuk saya berdepan pertandingan pada PRN di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kok Lanas ini,” katanya ketika ditemui di pusat pembuangan undi itu di sini pada Sabtu.

Turut hadir, isterinya, Nor Azma Zakaria, 56, yang turut melaksanakan tanggungjawab sama di pusat mengundi di DUN itu.

Di N25 Kok Lanas, Ahmad yang merupakan ahli perniagaan berdepan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga seorang akauntan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dari Perikatan Nasional-Pas.

Artikel Berkaitan:

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Nor Dani Deraman, 56, (kiri) mengambil peluang bergambar dengan Mohamed Farid (kanan).
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Nor Dani Deraman, 56, (kiri) mengambil peluang bergambar dengan Mohamed Farid (kanan).

Calon, Mohamed Farid turut hadir melawat ke pusat pengundian di sekolah itu pada jam 8.45 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerusi DUN itu dimenangi Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad atas tiket BN sebanyak 10,921 undi dengan majoriti 1,122.