Malaysian Tigers 'langgar habis' Korea Selatan di India

Malaysian Tigers mara ke perlawanan akhir kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia selepas menewaskan Korea Selatan, 6-2 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.
Malaysian Tigers mara ke perlawanan akhir kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia selepas menewaskan Korea Selatan, 6-2 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara mara ke perlawanan akhir kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia selepas menewaskan Korea Selatan, 6-2 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.

Ini merupakan penampilan keenam skuad negara pada edisi ketujuh kejuaraan berprestij yang menghimpunkan jagoan hoki Asia tersebut.

Bagaimanapun Malaysian Tigers asuhan Arul Selvaraj yang tampil dengan mentaliti baharu selepas menewaskan lawan sama 1-0 pada pusingan liga sepusingan dikejutkan jaringan gol padang minit kedua Ji Woo Cheon.

Namun Malaysian Tigers yang bangkit dari lamunan kembali menyamakan kedudukan menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal pada, minit ketiga

Skuad negara yang berstatus ranking kesembilan dunia tampil mendahului selepas Najmi Farizal menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan.

Namun Korea Selatan yang tampil lebih agresif kemudian mengikat kedudukan hasil pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit ke-14.

Tersentak persembahan luar biasa Korea Selatan, anak buah Arul kembali memperkemaskan permainan tampil semula memimpin perlawanan hasil jaringan pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-19.

Gol itu membarakan semangat Najmi Farizal untuk koleksi gol kedua peribadi pada minit ke-21 yang dijelmakan hasil pukulan sudut penalti bagi kedudukan 4-2 separuh masa pertama.

Artikel Berkaitan:

Separuh masa kedua, Malaysian Tigers yang masih dahagakan jaringan mengasak hebat kubu pasukan nombor 10 dunia tersebut.

Hasilnya, Shello Silverius tampil menjelmakan dua gol padang pada minit ke-47 dan 48 untuk memastikan kedudukan 6-2 kekal hingga perlawanan tamat.

Keputusan itu membolehkan Malaysian Tigers mara ke perlawanan akhir bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir India berdepan Jepun.

Sebagai rekod, kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia adalah kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Hoki Asia disertai oleh enam pasukan hoki terbaik Asia iaitu Korea Selatan, Pakistan, India, Malaysia, Jepun dan China.

Kejuaraan berprestij hoki benua Asia itu juga merupakan pentas persiapan aksi kompetitif terbaik untuk Malaysian Tigers sebelum menyingkap cabaran temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, September depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!