23 cedera dalam gempa bumi di selatan Turkiye

Gempa bumi dengan magnitud 5.2 landa selatan Turkiye pada malam Khamis. - Gambar hiasan
Gempa bumi dengan magnitud 5.2 landa selatan Turkiye pada malam Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 23 orang cedera dalam gempa bumi pada magnitud 5.2 yang menggegarkan selatan Turkiye, kata Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca pada petang Khamis.

Gempa kali ini berlaku kira-kira enam bulan selepas gempa bumi dahsyat melanda wilayah berkenaan.

Pusat pemantauan gempa bumi Kandilli di Istanbul melaporkan gempa itu berlaku pada 8.47 malam (1747 GMT) Khamis, dengan pusat gempa di perbandaran Yesilyurt wilayah Malatya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam bencana pada 6 Februari, wilayah Malatya adalah antara kawasan yang paling terjejas teruk, menyaksikan kira-kira 2,300 orang meninggal dunia, menurut Datuk Bandar Selahattin Gurkan.

Dua gempa bumi kuat dan banyak gempa susulan pada 6 Februari lepas, menggegarkan tenggara Turkiye dan utara Syria, mengorbankan lebih 50,000 orang. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan: