Pihak berkuasa Malaysia tahu kewujudan Kem, kubur

Farrah Naz (kanan) bersama Aliza Shah sebaik keluar dari bilik prosiding selepas memberi keterangan pada sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, yang memasuki hari kelapan di Dewan Gemilang KDN hari ini. - Foto Bernama
Farrah Naz (kanan) bersama Aliza Shah sebaik keluar dari bilik prosiding selepas memberi keterangan pada sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, yang memasuki hari kelapan di Dewan Gemilang KDN hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis diberitahu bahawa pihak berkuasa Malaysia mengetahui kewujudan kem dan kubur berkenaan lebih awal daripada Thailand.

Wartawan New Straits Times (NST), Aliza Shah Muhammad Shah menjelaskan bahawa Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bagaimanapun memutuskan untuk tidak mendedahkan penemuan itu atas permintaan rakan sejawatannya dari Thailand.

Aliza Shah berkata perkara itu diakui sendiri oleh Khalid kepadanya ketika beliau menemui bekas ketua polis negara itu pada satu acara 10 Okt, 2015.

Katanya, respons itu diberikan susulan panggilan telefon dan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp beliau kepada Khalid bagi bertanyakan sama ada betul atau tidak Malaysia menemui kem dan kubur itu pada Januari 2015 tidak mendapat jawapan.

Beliau berkata, panggilan dan WhatsApp itu dibuat selepas beliau turun dari melakukan tinjauan ke Genting Perah bagi melihat sendiri lokasi penemuan kem dan kubur pada 8 Ogos.

“Tan Sri Khalid, kata beliau, telah baca dan faham soalan WhatsApp saya tetapi tidak jawab kerana bimbang jawapan itu akan di screen shot dan disebarkan.

“Tan Sri kemudian mengakui memang betul kita jumpa lebih awal tetapi rakan sejawatannya dari Thailand meminta Malaysia tidak mendedahkannya kerana mereka mahu mendedahkannya awal daripada kita,” katanya, sambil menambah pengakuan itu dibuat selepas dipastikan tiada sebarang rakaman audio dibuat.

Aliza Shah yang meninggalkan NST sebelum November tahun lepas berkata demikian ketika tampil sebagai saksi ke-24 hari kelapan prosiding RCI di hadapan enam panel yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Menurut Aliza Shah, Khalid turut memintanya tidak melaporkan percakapan itu kerana beliau telah mempunyai perjanjian dengan ketua polis Thailand dan jika berita itu tersebar, rakan sejawatannya itu akan memarahinya.

Untuk rekod, ketua polis Thailand mengumumkan penemuan kem dan kubur seumpama itu di negara mereka pada 1 Mei, 2015.

Ketika ditanya mengapa beliau bertanyakan soalan sedemikian kepada Khalid, Aliza Shah berkata pihaknya inginkan kepastian kerana dalam sidang akhbar pada 25 Mei, 2015, bekas ketua polis negara itu menafikan mengenai perkara itu.

Terdahulu, saksi ke-23 Pengarang NST-TV, Farrah Naz Abdul Karim berkata beliau ada menerima surat daripada Pejabat Ketua Polis Negara pada awal 2018 yang meminta pihaknya tidak membuat sebarang berita susulan mengenai penemuan kem penempatan dan kubur di Wang Kelian.

Katanya, surat itu diterima selepas beliau menerbitkan laporan mengenai kes itu pada 20 Dis, 2017 yang kemudian disusuli dengan pertemuan bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) pada 23 Januari 2018.

Prosiding disambung semula pada 14 Mei. - Bernama