PRN: Makin ramai masyarakat Siam sokong Pas

Wan Roslan
Wan Roslan
A
A
A

KOTA BHARU - Sokongan masyarakat Siam Kelantan terhadap Pas meningkat daripada lima peratus ke 30 peratus menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu berikutan kepercayaan kaum tersebut terhadap Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin pudar.

Justeru, katanya, lebih ramai mereka beralih kepada Pas berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Dulu, diakui sukar untuk kami bertemu masyarakat Siam tetapi kini apabila Pas masuk ke kampung-kampung, mereka memberikan sambutan yang baik selain hadir ke ceramah-ceramah yang diadakan oleh parti.

“Kebanyakan mereka kecewa dengan kepimpinan UMNO yang dikatakan tidak menjaga kebajikan masyarakat Siam di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas negeri Kelantan, di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan berkata, lebih 10,000 pengundi dalam kalangan kaum itu di Kelantan melibatkan daerah Bachok, Tumpat dan Pasir Puteh.

Wan Roslan yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berkata, terdapat penempatan masyarakat Siam di beberapa DUN yang ditandingi Pas.

“Kawasan seperti DUN Kelaboran iaitu Jubakar, Mentuan dan Kubang Panjang antara yang dijangka mendapat sokongan Siam pada PRN ini,” kata Wan Roslan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!