Pengundi Melayu di Kelantan masih beri ruang kepada Anwar

37 peratus responden mengakui mereka boleh menyokong PH-BN kerana faktor Anwar di negeri di tadbir PH.
37 peratus responden mengakui mereka boleh menyokong PH-BN kerana faktor Anwar di negeri di tadbir PH.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi Melayu di Kelantan masih memberi ruang terhadap pengaruh dan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menterjemahkan sokongan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini.

Pengarah Eksekutif IIham Center, Hisommudin Bakar berkata, ini kerana pengundi Melayu di negeri kubu kuat pembangkang itu merekodkan lebih 52 peratus tidak pasti berbanding terus menolak kemungkinan mengundi Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dengan 43 peratus.

Kata Hisommudin, di Terengganu sedikit berbeza dengan 40 peratus tidak pasti berbanding 45 peratus terus menjawab tidak akan mengundi PH-BN.

“Hal ini menunjukkan bahawa dengan pengaruh peribadi Perdana Menteri sendiri membuka ruang kepada pengundi Melayu rasional walaupun di negeri pembangkang untuk menganjak ke garis tengah.

“Responden bagi segmen ini menyatakan mereka terbuka untuk melihat secara objektif usaha yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri untuk memulihkan negara,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian berhubung kaji selidik bertajuk 'Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan Dan Dasar Malaysia Madani: Tumpuan Di Enam Negeri Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15' yang dijalankan firma penyelidikan politik itu.

Kajian ini mengutip pensampelan berdasarkan populasi mengikut negeri yang dikaji.

Artikel Berkaitan:

Dapatan kajian Ilham Center berhubung faktor kepimpinan Anwar dan undi kepada PH-BN.
Dapatan kajian Ilham Center berhubung faktor kepimpinan Anwar dan undi kepada PH-BN.

Sejumlah 2,416 responden di enam negeri terlibat dengan PRN telah memberikan kerjasama dan terlibat dalam kaji selidik yang bermula pada 11 sehingga 27 Julai lalu.

Manakala terdapat 102 responden terlibat dalam temu bual mendalam (in depth - interview) dan kumpulan fokus (focus group discussion) yang meliputi kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita.

Bagi kaji selidik secara tatap muka di lapangan, data dikumpul oleh enumerator menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi seluruh enam negeri berkenaan dengan kaedah pensampelan rawak berstrata meliputi semua peringkat umur, etnik, kumpulan isi rumah, tahap pendidikan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.

Mengulas lanjut katanya, dapatan kajian pengundi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mendapati responden mengesahkan PH-BN boleh bergantung di atas kekuatan pengaruh Perdana Menteri.

“Ini kerana 37 peratus mengakui mereka boleh menyokong PH-BN kerana faktor ini terutama di negeri di tadbir PH,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!