Lelaki guna payung samun butik

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan suspek memegang payung selepas samun sebuah butik produk kecantikan di Batu Gajah. Foto: ihsan polis
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan suspek memegang payung selepas samun sebuah butik produk kecantikan di Batu Gajah. Foto: ihsan polis
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang wanita kerugian lebih RM7,000 selepas disamun seorang lelaki bersenjatakan payung di sebuah butik produk kecantikan di Jalan Pandak Akhat di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu suspek menyerbu masuk premis telah mengugut mangsa berusia 39 tahun untuk menyerahkan wang.

Ketika kejadian hanya mangsa bersama pekerja wanita berada di butik terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, siasatan mendapati lelaki itu melarikan wang tunai dan barangan kemas milik mangsa.

"Suspek mempunyai fizikal kurus dan sederhana tinggi. Ketika kejadian, suspek memakai baju lengan panjang berwarna kelabu, berseluar hitam dan berkasut putih.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek memakai topi keledar berpenutup penuh warga gelap," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, polis sedang mengesan suspek untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhidayah Omar di talian 013-3976564 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, 05-3654322/05-3629050 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: