Chelsea dalam bahaya

Chelsea sedang disiasat oleh Liga Perdana kemungkinan melanggar peraturan kewangan.
Chelsea sedang disiasat oleh Liga Perdana kemungkinan melanggar peraturan kewangan.
A
A
A

LIGA Perdana sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran peraturan kewangan oleh Chelsea ketika kelab itu di bawah pemilikan Roman Abramovich.

Abramovich menjual kelab itu tahun lalu kepada kumpulan pelaburan yang diketuai oleh ahli perniagaan Amerika Todd Boehly dan Clearlake Capital selepas aset jutawan Rusia itu di Britain dibekukan oleh kerajaan UK berikutan pencerobohan negaranya ke atas Ukraine.

Pemilik baharu Chelsea melaporkan sendiri beberapa transaksi kewangan semasa era Abramovich kepada badan induk bola sepak Eropah, UEFA, Liga Perdana dan FA.

“Kami cukup terbuka tentang isu bersejarah berkenaan dengan Chelsea kerana mereka melaporkan sendiri kepada Liga Perdana dan kepada FA jadi jelas sekali kami sedang menelitinya.

“Jika Liga Perdana percaya sebuah kelab telah melanggar peraturan kewangan dan ada kes untuk dijawab, kes itu akan dikemukakan kepada kelab,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters memberitahu akhbar Britain's Times semalam.

The Times melaporkan bahawa siasatan itu merangkumi pembayaran berjuta-juta pound kepada entiti luar pesisir yang tidak didedahkan dan ada kaitan dengan aktiviti bola sepak.

Ia berpotensi mengakibatkan penalti seperti denda yang besar atau potongan mata untuk kelab.

"Kami mahu proses sewajarnya disampaikan dengan cara yang betul secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Tidak mudah untuk melakukan perkara ini dengan cepat tetapi kami mahu jawapan yang betul, positif atau negatif, sama ada kelab didapati bersalah melanggar peraturan atau tidak," katanya.

Chelsea, yang menamatkan saingan di tempat ke-12 dalam Liga Perdana Inggeris selepas kempen yang terumbang-ambing tidak akan bersaing di Eropah pada musim 2023-24.