PM ucap 'selamat datang' kepada kumpulan Coldplay

Coldplay - Foto Courtesy of Dean Chalkley dan Getty Images
Coldplay - Foto Courtesy of Dean Chalkley dan Getty Images
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan 'selamat datang' kepada Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia, yang mengesahkan persinggahan di Malaysia bagi menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour mereka, November ini.

"Ayuh kita bekerjasama bagi melindungi alam sekitar dan menjadikan dunia lebih selamat,” katanya dalam klip ringkas yang dimuatkan dalam Facebook beliau, dengan disertakan dengan paparan kata-kata 'See you in November! Coldplay'.

Ini merupakan konsert julung kalinya dipersembahkan kumpulan muzik dari British itu di Malaysia, yang dijadualkan pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Coldplay dilapor memulakan siri jelajah mereka pada bulan Mac di Costa Rica, sebelum meneruskan persembahan yang dijadualkan di Tokyo, Kaohsiung (Taiwan), Jakarta dan Perth, selain Kuala Lumpur pada bulan November ini.

Kumpulan berkenaan sebelum ini menyatakan komitmen mereka untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida 50 peratus berbanding siri jelajah dunia 2016-17 mereka. - Bernama