PH-BN semakin yakin tawan Kelantan

Dr Ahmad Zahid (tengah) bersama kepimpinan BN dan penyokong PN-BH mengibarkan bendera tanda semangat menjelang PRN Sabtu ini.
Dr Ahmad Zahid (tengah) bersama kepimpinan BN dan penyokong PN-BH mengibarkan bendera tanda semangat menjelang PRN Sabtu ini.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin berkeyakinan mampu menawan Kelantan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, angin perubahahan itu semakin dirasai menjelang saat-saat akhir siri jelajah kempen yang dilakukan beliau bersama jentera parti.

“Malam ini adalah 'grand finale' untuk kita berjuang habis-habisan dan menawan enam negeri terutama Kelantan.

“Dalam siri jelajah yang saya lakukan, saya kagum dan bertambah yakin bahawa angin perubahan di Kelantan ini sedang melanda untuk kita ubah kerajaan negeri ini kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera dan Penyokong BN-PH Pasir Puteh di Kampung Pulau Lima dekat sini pada Rabu.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan BN-PH akan mengotakan kesemua 34 janji dalam manifesto yang mereka tawarkan kepada rakyat di negeri ini terutama membawa masuk lebih ramai pelabur ke Kelantan untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kita tidak mahu rakyat Kelantan menganggur sehingga terpaksa mencari peluang pekerjaan di luar dari negeri ini.

“Apabila menang nanti, kita akan wujudkan 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Kelantan dan anak-anak yang merantau boleh pulang bekerja di negeri sendiri,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga mengulangi janji untuk menghapuskan tunggakan bil air rakyat Kelantan dan menurunkan caj premium tanah sehingga 70 peratus.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pembangkang sengaja memainkan isu mengatakan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan raja-raja terancam jika PH-BN memerintah negeri itu.

“Sedangkan sepanjang lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, perkara itu tidak berlaku sama sekali,” katanya.