Rangsang ekonomi secara berhutang hanya bawa bala - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Merangsang ekonomi secara berhutang hanya akan membawa bala kepada generasi seterusnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pertumbuhan ekonomi yang perlahan semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk membiayai projek.

Menurutnya, pentadbiran dahulu juga sering menghulurkan wang dan subsidi untuk meredakan kos sara hidup tetapi ia tidak mampu menyelesaikan masalah sedia ada.

“Sahabat baik saudara Syahir iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup gemar mengumumkan pakej-pakej rangsangan.

“Terbaharu, beliau mengumumkan pakej rangsangan untuk Selangor tetapi rakyat perlu tahu jika dibuat secara berhutang, ia hanya meninggalkan bala kepada generasi muda yang akan menanggungnya,” katanya dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman pada Rabu.

Jelas Rafizi, pendekatan kerajaan sekarang berbeza iaitu melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang baharu bagi mencipta lebih banyak peluang untuk menarik pelabur dari luar negara.

"Dasar gaji progresif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, adalah bertujuan menaikkan kadar gaji pekerja swasta dengan kerjasama majikan.

“Dasar gaji progresif ini telah dilancarkan dan kerajaan mampu membangunkan program ini dalam tempoh lapan bulan sedangkan mereka 33 bulan, tidak ada penyelesaian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pandan itu menambah, masalah ekonomi tidak boleh diselesaikan dengan kaedah lama iaitu berhutang.

Ujar beliau, ia hanya menjadikan ekonomi negara semakin ketinggalan daripada pesaing, gaji yang dibayar terlalu rendah dan kelemahan kewangan kerajaan.

Malah katanya, perkara itu juga menyebabkan ketidakupayaan negara dalam melahirkan bakat-bakat baru yang berinovasi dan bernilai tinggi.

“Kita terlalu selesa dengan limpahan ekonomi yang dibawa oleh industri berasaskan kekayaan semula jadi kita, contohnya industri minyak dan industri perladangan.

“Sebagai sebuah negara, kita tidak menaikkan gaji dalam sektor-sektor penting seperti perkilangan dan perkhidmatan kerana kita selesa dengan kegiatan ekonomi sedia ada kerana upah yang rendah akan tetap memberi pulangan hasil lumayan,” katanya.