Jejantas Coronation Square-RTS bantu pertumbuhan ekonomi

Steven (dua dari kini) menyaksikan model jejantas berkenaan sempena perasmiannya pada Isnin.
Steven (dua dari kini) menyaksikan model jejantas berkenaan sempena perasmiannya pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembinaan jejantas yang menghubungkan Coronation Square ke stesen Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) di JB Sentral dilihat bakal membantu pertumbuhan ekonomi selain menjamin kesejahteraan rakyat.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim, projek bernilai RM50 juta itu merupakan satu inisiatif kerajaan Persekutuan di bawah Kerjasama Awam Swasta (PPP) dan Dana Mudah Cara.

"Coronation Square merupakan sebahagian daripada projek berprestij yang dilancarkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 2015 lalu.

"Orang ramai yang melalui jejantas sepanjang 280 meter ini hanya memerlukan empat minit bagi perjalanan dari Coronation Square ke JB Sentral.

"Menara pertama bagi projek pembangunan ini dijangka siap pada Julai dan beroperasi dalam tahun ini juga," katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Jejantas City Link (City Link Skybridge) di Jalan Trus pada Isnin.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, kewujudan jejantas yang menghubungkan Coronation Square ke JB Sentral itu dilihat bakal menjadi 'pembuka jalan' kepada projek-projek lain di bandar raya berkenaan.

Malah katanya, projek berkenaan juga bakal menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya yang mesra pejalan kaki (walkable city).

"Jadi, saya sangat mengalu-alukan projek ini kerana ia akan jadi pemangkin kepada kesinambungan projek-projek lain yang akan berlaku," katanya.