Remaja intai wanita dalam tandas ditahan

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

TAPAH - Lelaki yang disyaki mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak di sini Sabtu lalu, telah tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, remaja berusia 15 tahun itu mengaku dia merupakan individu tersebut selepas video kejadian itu tular di media sosial.

"Remaja itu datang bersama bapanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada jam 9 malam pada Ahad.

"Kawad cam telah dilakukan oleh mangsa dan suspek dikenal pasti melalui bentuk fizikalnya," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan dan sehelai baju yang dipakai suspek ketika kejadian telah dirampas.

"Kes akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak dalam kejadian sekitar jam 4.50 petang, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 33 tahun yang menyedari perbuatan jelik suspek telah tampil membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki tersebut telah masuk ke tandas berkenaan sebelum dilihat beredar dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.