Polis siasat hantaran tular dakwa pengundi awal diberi RM200

Mazli Mazlan. - Foto Bernama
Mazli Mazlan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menerima laporan berhubung hantaran tular yang mendakwa calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) memberi RM200 kepada pengundi awal untuk mengundi calon tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, laporan itu diterima di Balai Polis Chukai pada Selasa.

"Berdasarkan laporan itu, pengadu mendapati terdapat hantaran tular ketika melayari laman Facebook yang telah memfitnah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai memberi RM200 kepada polis untuk mengundi calon berkenaan.

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, beliau memberitahu, pihak polis turut menerima tiga lagi laporan pada hari sama berkenaan aduan wujud unsur sogokan oleh calon yang bertanding, risalah memburukkan imej calon dan ceramah tanpa permit.

"Laporan itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu aktiviti ceramah dikesan dijalankan tanpa mendapat permit dan terdapat dua permohonan ceramah yang bertindih dengan permohonan parti lain pada Selasa.

"Secara keseluruhan pihak polis telah menerima 88 permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 86 permohonan telah diluluskan semalam (Selasa).

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 38 permohonan ceramah oleh BN, 46 permohonan oleh Perikatan Nasional (PN) dan masing-masing satu permohonan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mazli memberitahu, aktiviti kempen semakin rancak di semua kawasan khususnya melibatkan PN dan BN.

Justeru, katanya, parti-parti bertanding diingatkan supaya berkempen secara berhemah dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.