Sokongan kepada PH-BN di Pulau Pinang meningkat 70 peratus

Kon Yeow beramah mesra dengan peniaga di Medan Selera Lebuh Pantai dalam jelajah mesranya pada Rabu.
Kon Yeow beramah mesra dengan peniaga di Medan Selera Lebuh Pantai dalam jelajah mesranya pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Momentum sokongan rakyat di Pulau Pinang terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat sehingga 70 peratus.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, berbaki dua hari lagi sebelum pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini, sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat menunjukkan trend meningkat dari hari ke hari.

Kon Yeow berkata, dengan trend yang ditunjukkan, beliau yakin pengundi akan memberi sokongan kepada gabungan PH-BN pada hari mengundi kelak.

"Sambutan memang ada dan semakin meningkat. Momentum sokongan juga naik, setakat hari ini, sudah mencecah 70 peratus dan ini petanda yang baik. Kita harap berbaki dua hari lagi (berkempen), momentum akan naik kemuncak.

"Saya yakin, pengundi UMNO akan beri sokongan kepada PH kali ini. Saya rasa setelah lapan bulan Kerajaan Perpaduan berfungsi, rakyat sudah boleh terima khususnya di peringkat negeri Pulau Pinang," katanya ketika ditemui ketika mengadakan jelajah mesra sempena PRN di Lebuh Pantai di sini pada Rabu.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Caretaker berkata, semua parti sedang berusaha untuk memujuk pengundi agar menyokong gabungan Perpaduan PH-BN dalam PRN ini.

"Di peringkat pimpinan, kita sudah buat ketetapan untuk menyokong antara satu sama di bawah naungan Perpaduan. Kita masuk berkempen ke kawasan ditandingi BN untuk memujuk pengundi yang beri sokongan kepada kita sebelum ini untuk mengalih undi mereka.

"Begitu juga sebaliknya, jika PH tanding undi lah Harapan, kalau PH tidak bertanding di kawasan tersebut, undi lah BN. Itu lah antara yang kita sampaikan ketika siri kempen ini. Saya percaya, bagi pihak penyokong PH untuk menyokong BN bukan satu isu lagi.

Artikel Berkaitan:

"Kita terima dan tahu keperluan gabungan dan kerjasama ini, dan kita berharap UMNO pun dapat meyakinkan ahli dan penyokong mereka untuk sokong mereka sendiri dan sokong PH dalam kawasan di mana mereka tidak bertanding," katanya.

Menjawab soalan sama ada sukar untuk meyakinkan pengundi khususnya PH untuk mengundi UMNO, Kon Yeow berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kerana rakyat semakin boleh menerima gabungan Perpaduan itu.

"Saya tak nampak ada masalah, mereka sudah tahu sebab sudah jadi kenyataan, lapan bulan di bawah Perpaduan, malah sepanjang saya berkempen, tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku.

"Cuma semalam ada seorang lelaki menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap seorang calon ketika saya turun berkempen di Teluk Kumbar. Itu saja.

"Semua peringkat umur (pengundi) tahu yang ia satu realiti kerjasama politik yang baru malah mereka semakin boleh menyesuaikan diri dan mengikut pendirian parti untuk menyokong BN," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan mengenai golongan muda akan memihak kepada Perikatan Nasional (PN) adalah hanya pandangan umum semata-mata.

"Pendekatan kita adalah kepada semua peringkat umur termasuk golongan muda, malah penyokong kita pun terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

"Dakwaan mengatakan sokongan orang muda lebih kepada PN adalah pandangan umum semata-mata kerana terpengaruh dengan media sosial antaranya TikTok," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!