Suami isteri antara 4 diberkas kes pecah pejabat, larikan wang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Pasangan suami isteri antara empat individu dipercayai memecah masuk sebuah premis sebelum melarikan wang berjumlah RM201,586.23 serta beberapa telefon bimbit milik sebuah syarikat pemprosesan makanan di Jalan Sungai Pinang, Pulau Indah di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan berkaitan kejadian kecurian tersebut diterima pihaknya oleh pembantu pengurus sumber manusia di syarikat tersebut pada 4 Ogos lalu.

"Siasatan mendapati pada 3 Ogos, mangsa meletakkan sejumlah wang dalam beberapa sampul untuk pengagihan gaji kepada pekerja dan bercadang untuk membuat penyerahan kepada pekerja.

"Bagaimanapun, mangsa mendapati kesemua sampul berisi wang tunai itu bersama 32 buah telefon bimbit yang disimpan dalam almari telah hilang ketika tiba di pejabatnya kira-kira jam 4 pagi ketika masuk kerja pada 4 Ogos," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan mendapati jumlah kerugian dialami kira-kira RM220,000.

"Siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan empat individu terdiri pasangan suami isteri warga tempatan dan dua lelaki warga asing berumur antara 22 hingga 44 tahun di sekitar kawasan Klang dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Salah seorang suspek yang diberkas iaitu suami kepada wanita tersebut dipercayai merupakan pekerja syarikat itu selain mempunyai tiga rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, turut dirampas ketika tangkapan dijalankan adalah wang tunai berjumlah RM110,680 serta 15 jenis barangan kemas bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.