Rekod UMNO bantu bukan Melayu cukup cemerlang - Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Meskipun UMNO adalah sebuah parti yang berteraskan perjuangan Melayu dan Islam, namun parti itu tidak pernah menafikan kebajikan dan hak-hak bukan Melayu sepanjang lebih 60 tahun mentadbir negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bukan Melayu perlu menyoroti kembali sejarah, bagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN) membela nasib mereka sama ada aspek sosial, budaya dan ekonomi.

Menurut beliau, dengan jumlah sokongan bukan Melayu yang semakin kurang kepada UMNO dan BN dan layanan yang tidak seberapa Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas kepada mereka, pengundi bukan Melayu harus berfikiran lebih jauh untuk memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

“Saya bukan nak mengungkit, tapi itulah adalah fakta sejarah. Orang bukan Melayu kena imbas balik selama 60 tahun lepas siapa yang menjaga kebajikan dan kepentingan mereka, jawapan UMNO, BN.

“Lepas itu mereka kena renung kembali apa yang PAS buat untuk orang bukan Melayu selama ini? Mereka hanya suka cari ‘gaduh’ dengan bukan Melayu. Tengok macam mana insiden mereka tak menghormati rakan bukan Melayu dalam PN dan halau Presiden Gerakan di satu ceramah di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai menambah orang bukan Melayu juga perlu sedar jumlah pengundi mereka juga semakin berkurangan berbanding pengundi Melayu dan ia bakal memberi kesan masa hadapan jika mereka salah memilih.

“Saya hendak mengingatkan orang bukan Melayu yang semakin berkurangan jumlah pengundi berbanding dengan Melayu. Jadi jangan terlalu taksub dengan kepentingan mereka dan bencikan UMNO.

“Kalau mereka masih suam-suam kuku untuk sokong UMNO dalam kerajaan Perpaduan maknanya mulut berjalan tapi badan berdiam, maka sokongan kepada UMNO akan terus terhakis dan Pas akan meningkat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, dalam situasi di mana pengundi Melayu yang semakin berfikiran urbanisasi dan bersifat progresif juga sudah mula menolak Pas, bukan Melayu pula perlu bijak membuat pilihan supaya masa depan mereka tetap terjamin di bawah kerajaan yang boleh dipercayai.

“Nasihat saya, biarlah UMNO saja yang tinggal sebagai parti alternatif untuk terus membela bukan Melayu dan bukannya Pas, Bersatu, Pejuang dan lain-lain.

“Jadi bukan Melayu mesti kembali menaruh kepercayaan kepada UMNO dan BN pada PRN kali ini,” katanya.