Pilih calon PRN yang tidak menggadai prinsip

Syed Hamid Albar ketika diwawancara di kediamannya.
Syed Hamid Albar ketika diwawancara di kediamannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas menteri kabinet Tan Sri Syed Hamid Albar menyeru kepada pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri iaitu, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kedah supaya mengundi calon yang tepat serta mempunyai rekod yang bersih.

Beliau yang juga merupakan pakar Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) berkata, pemilihan calon yang tepat perlu kerana ia bakal mengemudi Dewan Undangan Negeri (DUN) ke landasan yang baik dan impaknya nanti bakal dinikmati oleh rakyat di kawasan berkenaan.

Justeru, katanya pengundi perlu memainkan peranan yang sebaiknya ketika memilih calon.

"Pengundi perlu mainkan peranan dengan mengundi orang yang tepat, iaitu mereka yang membawa suara rakyat, yang boleh menjalankan tanggungjawab bukan untuk kepentingan peribadi.

Kempen Rasuah Busters yang mengajak pengundi memberi undi kepada calon yang bersih dan berintegriti.
Kempen Rasuah Busters yang mengajak pengundi memberi undi kepada calon yang bersih dan berintegriti.

"Mereka (pengundi) perlu matang, walaupun muda berusia 18 tahun buat pilihan yang sebetul-betulnya, kerana ingat mereka sedang memilih masa depan mereka sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

PRN enam negeri yang melibatkan perbelanjaan RM420 juta itu turut menyaksikan Selangor menjadi negeri yang mempunyai pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun paling ramai iaitu 274,194 orang dan menjadi negeri paling ramai mempunyai kumpulan pengundi berusia 90 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 8,638 orang.

Artikel Berkaitan:

Ia disusuli Kedah dengan 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264) dan Negeri Sembilan (55,017).

Tambahnya lagi, besar harapan beliau supaya pengundi lebih prihatin dalam menilai calon-calon yang dikemukakan pada PRN kali ini.

"PRN ini menjadi medan untuk pengundi menolak calon yang ' kotor', tidak berprinsip, oleh itu pengundi jangan mudah terpedaya dan terpesona dengan janji dan sogokkan calon.

"Kita mahu pemimpin dalam kalangan mereka yang terbaik bagi mewakili suara kita dan memperjuangkan hak-hak rakyat," katanya.