ILI meningkat di Perak, banyak kes di institusi pendidikan

A Sivanesan - Foto fail Bernama
A Sivanesan - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Wabak jangkitan saluran pernafasan melibatkan Penyakit Seperti Influenza (ILI) mencatatkan peningkatan di Perak dengan kebanyakan kes tertumpu di institusi pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, daerah Larut, Matang dan Selama berada di tangga pertama dengan 10 kes ILI iaitu 33.3 peratus disusuli Bagan Datuk dengan lima kes iaitu 16.7 peratus.

Beliau berkata, sejumlah 30 wabak jangkitan saluran pernafasan telah dilaporkan di Perak melalui pemantauan wabak itu secara kumulatif bagi tahun ini sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 30 yang berakhir 29 Julai.

"Bagi kategori tempat wabak pula, 73.3 peratus adalah di institusi pendidikan, 16.7 peratus di rumah persendirian dan baki 10 peratus bagi kategori tempat-tempat lain," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Generik HIRARC Bagi Sektor Penguarian di Negeri Perak di sini hari ini.

Terdahulu, 69 peserta dalam kalangan majikan, pekerja dan pengamal keselamatan serta kesihatan pekerjaan sektor kuari Perak hadir bagi mendengar taklimat dalam majlis berkenaan.

Sivanesan berkata, faktor utama peningkatan wabak mungkin berpunca daripada pengurangan amalan pemakaian pelitup muka dalam kalangan individu yang bergejala.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Dr Rabaayah Daud berkata, pihaknya telah menerima 511 laporan kemalangan di tempat kerja sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata, 483 kes melibatkan tidak hilang upaya kekal, 13 kes hilang upaya kekal, lapan kes kejadian berbahaya dan tujuh kes maut.

Artikel Berkaitan:

"Melalui taklimat yang dilaksanakan ini kita memberi penekanan supaya majikan dan pekerja sentiasa mengutamakan aspek keselamatan yang turut melibatkan kesihatan serta kebajikan khususnya ditempat kerja," katanya. - Bernama