Cacat mata tak halang Koperal Abdullah Sidee mengundi kali ketiga

Abdullah Sidee (kiri) dipimpin rakannya ketika mengundi awal di IPD Kuala Selangor pada Selasa.
Abdullah Sidee (kiri) dipimpin rakannya ketika mengundi awal di IPD Kuala Selangor pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang anggota polis cacat penglihatan adalah antara 371 anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini pada Selasa.

Koperal Abdullah Sidee Mohamed, 35, berkata, meskipun tidak lagi boleh melihat seperti dahulu, namun tanggungjawab sebagai warganegara tetap dilaksanakan bagi menyuburkan proses demokrasi di negara ini.

Menurut Abdullah Sidee, dia bersyukur dan teruja untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

"Saya teruja dan gembira kerana dapat bersama-sama anggota dan pegawai lain keluar mengundi pada hari ini," katanya ketika ditemui pada proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini pada Selasa.

Abdullah Sidee bertugas di Bahagian Logistik dan Teknologi Cawangan Pengangkutan IPD itu tiba dengan bertongkat dan dibantu rakannya, Lans Koperal Sazwan Hariq Mahmad kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurut beliau, PRN Selangor ini adalah kali ketiga beliau mengundi dalam keadaan masalah penglihatan akibat daripada ketumbuhan pada saraf mata sejak 2017.

"Saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu memudahkan proses pengundian dengan lancar,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fahmi Ahmad dan isterinya Nurardila menunjukkan tanda yang telah dicelup dakwat kekal pada undi awal di IPD Kuala Selangor pada Selasa.
Mohd Fahmi Ahmad dan isterinya Nurardila menunjukkan tanda yang telah dicelup dakwat kekal pada undi awal di IPD Kuala Selangor pada Selasa.

Pasangan polis, Inspektor Mohd Fahmi Ahmad, 36, dan isterinya, Sarjan Nurardila Ismail, 35, turut teruja mengundi di IPD berkenaan.

Mohd Fahmi yang bertugas di Bahagian Pengurusan Cawangan Pelesenan IPD berkata, dia dan isteri mengundi di IPD Kuala Selangor buat kali keempat sejak berkahwin pada tahun 2017.

"Alhamdulilah, kami turut masih berpeluang untuk bersama mengundi kali ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa pula menjadi pengundi pertama yang melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Beliau memberitahu, seramai 371 pegawai dan anggota mengundi awal di empat saluran daerah ini melibatkan tiga saluran di IPD Kuala Selangor manakala satu lagi di Balai Polis Tanjong Karang.