62 pegawai, anggota polis dibuang kerja sejak Januari lalu

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

GOMBAK - Seramai 62 pegawai dan anggota polis yang didapati terbabit dalam pelbagai kesalahan serta penyalahgunaan dadah telah dibuang kerja sejak Januari hingga Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan buang kerja itu adalah sebahagian daripada 741 hukuman yang telah diberikan dalam tempoh yang sama.

"Hukuman berbentuk amaran adalah tertinggi diberikan kepada pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan dengan 443 tindakan, denda (130), lucut hak emolumen (79), tangguh pergerakan gaji (15), turun gaji (7) dan diturunkan pangkat (5).

"Sepanjang tahun lalu seramai 154 pegawai dan anggota telah dibuang kerja berbanding tahun sebelumnya iaitu 117 pegawai dan anggota," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah dekat sini pada Ahad.

Ayob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah bertolak ansur dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan jenayah, dadah, salah laku dan tatatertib.

Terdahulu beliau mengulas tentang serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, di sebuah pusat hiburan di Seremban, awal pagi Sabtu.

Seorang pegawai berpangkat Inspektor dan 14 anggota yang bertugas di sebahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, serta dua timbalan pendakwa raya ditahan dalam operasi berkenaan.

14 daripada 15 pegawai dan anggota polis terbabit serta dua timbalan pendakwa raya didapati positif dadah.

Artikel Berkaitan: