Kenaikan SSHP bantu pesawah terbeban kos pengeluaran padi

Mohamad Sabu (tiga dari kanan) bersama Anwar (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di Dataran Kerian Permai pada Selasa. - Foto Bernama
Mohamad Sabu (tiga dari kanan) bersama Anwar (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di Dataran Kerian Permai pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas belasan tahun tidak dinaikkan disifatkan kelegaan kepada pesawah negara yang terkesan dengan peningkatan kos pengeluaran padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pembayaran peningkatan kadar subsidi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan itu akan disalurkan terus ke akaun petani yang terlibat.

"Ini satu pengumuman besar oleh Perdana Menteri yang lama dinantikan pesawah dan kita mendengar keluhan daripada para petani yang begitu lama dan hari ini ia dapat ditunaikan, memberi kelegaan kepada petani khasnya mereka yang mengusahakan sawah yang kecil.

"Petani berskala besar kadangkala dapat tampung kenaikan harga, perbelanjaan dan sebagainya tetapi petani kecil menghadapi kesusahan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Kerian Permai pada Selasa.

Ditanya sama ada kenaikan itu dibuat disebabkan musim Pilihan Raya Negeri, beliau berkata ia adalah tafsiran yang boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan ayam dan telur adalah mencukupi dan kerajaan akan menghentikan import dan akan mula mengeksport sekiranya bekalannya berlebihan.

"Harga ayam dan telur juga mulai stabil jadi harap tiada perkara yang merosakkan ternakan ayam pada masa akan datang yang keadaan cuaca dunia sekarang tidak menentu," katanya.

Sebelum itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, saiz sawah padi yang diusahakan tidak ekonomik dan sukar mencapai tahap kecekapan pengeluaran, menyebabkan pendapatan petani masih rendah dan kementerian telah memperkenalkan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan membawa teknologi Ala Sekinchan ke beberapa buah negeri bagi mengatasinya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, melalui maklum balas daripada pesawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan IADA Seberang Perak, terdapat beberapa isu yang sering dibangkitkan termasuk masalah pengairan sawah padi seperti kapasiti air yang tidak mencukupi terutamanya sewaktu jadual pengairan dilaksanakan.

Katanya, sumber pembekalan air dan peruntukan pembangunan infrastruktur yang terhad turut memberi cabaran kepada pesawah di kawasan tersebut.

Menurutnya, IADA Kerian dan IADA Seberang Perak merupakan kawasan tanaman penting di negeri ini yang memfokuskan kepada penanaman padi secara bersepadu dan pengeluaran padi 2022 bagi kedua-dua IADA ini adalah sebanyak 228 ribu tan metrik yang mewakili 84 peratus pengeluaran padi negeri Perak.

Katanya, kebergantungan import beras negara adalah sebanyak 35 peratus ketika ini boleh membawa risiko gangguan bekalan sekiranya berlaku ketidaktentuan di peringkat global.

"Dalam hal ini, keputusan kerajaan India melaksanakan sekatan eksport beras putih (bukan basmati) sejak 20 Julai lepas, dijangka akan menyebabkan harga beras dunia terus meningkat.

"Senario ini tentunya akan memberi kesan kepada Malaysia sekiranya terus bergantung kepada import beras putih," katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani situasi ini, kerajaan bertekad untuk meningkatkan pengeluaran padi negara melalui pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan dan terus komited dalam memastikan kebajikan pesawah sentiasa terpelihara. - Bernama