X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Pahit, manis setahun Pas terajui Terengganu

Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tempoh setahun pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Pas diwarnai dengan pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Dalam tempoh itu, kerajaan Terengganu sudah dapat mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta ancaman dan peluang yang ada untuk diambil tindakan sewajarnya pada masa akan datang.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk pegawai, kakitangan, pemimpin masyarakat, korporat dan seluruh rakyat yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang setahun pentadbiran kerajaan pimpinannya.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi ucapan syukur kita panjatkan ke hadrat ALLAH SWT, di atas limpah kurniaNya, kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran yang baharu telah mencapai usia setahun pemerintahannya.

“Tahun ini, kita meraikan setahun pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dalam bulan Ramadan, sangat bertepatan untuk kita melakukan muhasabah terhadap prestasi diri dan juga prestasi Kerajaan Negeri.

“Dalam tempoh ini, prestasi semua agensi mesti dinilai dan dilakukan penambahbaikan untuk memastikan Terengganu terus bergerak menuju matlamatnya ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’,” katanya.

Ahmad Samsuri turut menyeru agar semua pihak mengambil semangat daripada saranan Nabi Muhammad SAW untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, dan seterusnya menterjemahkannya dalam membangunkan Terengganu.

“Saya mengajak semua pihak untuk sama-sama berdoa dan bermunajat dalam bulan yang mulia ini agar kepimpinan negeri dan rakyat diberikan petunjuk oleh ALLAH SWT untuk menunaikan amanah kepimpinan ini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!