Manifesto Kedah Madani tidak janji melangit - Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Manifesto Kerajaan Perpaduan Kedah Madani telah dirangka dengan mengambil kira keperluan rakyat negeri ini dan bukan sekadar janji melangit.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, negeri yang suatu ketika dahulu digelar Jelapang Padi itu memerlukan sentuhan pemimpin berpengalaman agar kembali fokus kepada kemajuan, kemakmuran, berdaya huni dan mapan.

Menurutnya, manifesto tersebut menggariskan empat teras utama yang memainkan peranan sebagai tunjang pembangunan Kedah selain meletakkan sasaran membangunkan semula negeri ini agar lebih progresif dan berdaya saing.

"Tempoh pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 37 bulan telah meletakkan Kedah dalam keadaan pincang, apabila berdepan pelbagai kegagalan di peringkat dasar, kepimpinan, urus tadbir dan tata kelola yang lemah.

“Ia bukan sahaja membebankan rakyat, malah menyebabkan ada generasi yang tercicir dan meningkatkan kesenjangan masyarakat. Kedah turut dibebani krisis perubahan iklim dan terjerat dalam tata kelola kepimpinan yang angkuh serta tidak sopan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu enggan berjanji bulan bintang tetapi meletakkan integriti, cekap, amanah dan telus dalam usaha membangunkan Kedah adalah ciri utama yang dipastikan wujud dalam barisan kepimpinan negeri.

“Kami mahu bangunkan Kedah bersandarkan teras yang sudah dirumuskan secara holistik serta rasional, khususnya dari aspek reformasi politik dan ketelusan urus tadbir.

“Teras kedua pula mencakupi perihal pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif, manakala teras ketiga melibatkan tumpuan ke atas pembangunan sosial secara harmoni,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir semasa turun kempen Pilihan Raya Negeri Kedah bagi DUN Pedu.
Mahdzir semasa turun kempen Pilihan Raya Negeri Kedah bagi DUN Pedu.

Menurutnya, manifesto terbabit turut memberi tumpuan kepada pengurusan hasil bumi yang mampan dan Kerajaan Perpaduan Kedah Madani menawarkan rangka pengurusan ekonomi secara dinamik berdasarkan asas pertanian sedia ada, sumber tenaga terlatih dan sumber semula jadi untuk pembangunan ekonomi negeri yang lebih progresif serta berdaya saing.

“Bagi memastikan ketelusan ini sentiasa diutamakan, Ketua Pembangkang akan dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Kedah.

“Jentera pentadbiran negeri juga akan menyusun dan memperkemaskan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih kompeten dan berdaya saing,” kata Mahdzir.

Tambahnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Menteri Besar dan Exco diwajibkan mengisytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua tahun.

“Kami juga akan menubuhkan lebih ramai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas di peringkat DUN dan memastikan Exco kerajaan negeri dibarisi oleh sekurang-kurangnya dua wakil anak muda.

“Pembentukan generasi muda yang berdaya saing akan mendapat tempat cukup istimewa dalam Kerajaan Perpaduan Kedah Madani, dan ia meliputi setiap aspek diperlukan,” katanya.

Memberi jaminan keperluan mereka tidak akan diabaikan, Mahdzir berkata, Program Perumahan Sewa-Untuk-Miliki (Rent-to-Own) akan diperkenalkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), bagi memberi peluang kepada keluarga muda memiliki rumah pertama.

“Kerajaan Perpaduan Kedah Madani juga akan mewujudkan Rumah Transit kepada anak muda yang layak dengan kadar sewa berpatutan di kawasan strategik.

“Turut dilaksanakan ialah program perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik untuk golongan B40 serta M40 di bandar atau pinggir bandar, berasaskan keperluan,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, program Kasih Ibu Darul Aman juga akan diperkenalkan semula untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup melalui pembelian barangan keperluan asas bulanan dan rawatan kesihatan.

Program itu jelasnya, turut menekankan bimbingan latihan kemahiran dan keusahawanan, selaras dengan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negeri itu.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada usaha menggembleng tenaga bersama agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam menyampaikan dasar bermanfaat kepada rakyat. Ini termasuk golongan pesakit terlantar dan kronik," katanya.